Kadar gejala jenayah murid terkawal

PUTRAJAYA, 12 Feb – Di sebalik laporan mengenai pelbagai kes disiplin dan isu pelajar bermasalah, kadar gejala jenayah melibatkan murid sekolah masih di tahap rendah dan terkawal, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Menurutnya, daripada lebih lima juta murid yang berada di 10,200 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, hanya kira-kira 1,000 pelajar atau kurang daripada satu peratus terlibat dalam gejala sosial serta pelakuan jenayah.

“Berdasarkan nisbah keseluruhan murid, ia masih terkawal dan segala tindakan yang dilakukan termasuk mewujudkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) hanyalah untuk memperbaiki keadaan,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Seminar Permuafakatan Pembangunan Nilai dan Sahsiah Murid oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid di sini hari ini.

Mohamad Fuzi berkata keupayaan membendung masalah sosial dan salah laku jenayah dalam kalangan pelajar itu terhasil melalui kerjasama rapat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan.

Beliau turut mengingatkan agar pihak sekolah tidak menyembunyikan sebarang bentuk salah laku disiplin demi menjaga nama baik sekolah supaya polis melalui PPS dapat mengambil langkah sewajarnya.

Tan Sri Mohamad Fuzi Harun semasa sidang media selepas majlis perasmian Seminar Permuafakatan Pembangunan Nilai dan Sahsiah Murid anjuran Kementerian Pendidikan kelmarin. – Bernama

Bagi memantapkan lagi langkah mengekang masalah disiplin, jenayah, buli dan gengsterisme di sekolah, Mohamad Fuzi berkata PDRM merancang menempatkan PPS di semua sekolah di seluruh negara pada masa akan datang.

Ekoran kekangan keanggotaan, PPS tidak mampu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada setiap sekolah sebaliknya hanya menumpukan kepada 402 sekolah dalam kategori ‘hotspot’ dan sekolah tertentu yang dikenal pasti mempunyai kes salah laku dan masalah disiplin, katanya.

PPS yang melibatkan seorang pegawai dan anggota lain-lain pangkat diwujudkan bertujuan memantau keselamatan dan disiplin pelajar selain turut menjadi mekanisme dalam mengekalkan komunikasi berterusan antara PDRM dan sekolah selain menyusun langkah terbaik dalam menangani masalah disiplin di sekolah di bawah selian masing-masing.

Sementara itu, Mahdzir berkata kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan PDRM menyaksikan beberapa program menangani salah laku disiplin murid dilaksanakan antaranya Program Remaja Berwawasan yang melibatkan 29,200 murid, Kelab Pencegahan Jenayah yang disertai 33,113 pelajar daripada 5,865 buah sekolah.

Beliau berkata pendekatan PDRM melalui PPS membantu memupuk kesedaran berkaitan perlakuan jenayah dalam kalangan murid sekali gus berupaya meningkatkan sahsiah golongan tersebut yang akhirnya membawa kepada peratus melakukan salah laku di dalam atau luar sekolah menurun. – Bernama