Kadar inflasi M’sia dijangka kekal terurus

Kadar inflasi M’sia dijangka kekal terurus

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) – Kadar inflasi dijangka kekal terurus pada paras antara 2.0 dan 2.5 peratus bagi tahun ini berbanding 2.1 peratus pada 2015 dengan tekanan lemah terhadap inflasi.

Menurut RHB Research Institute, tekanan berkemungkinan berkurangan dengan harga tenaga dan komoditi yang terus rendah, serta kelembapan permintaan dalam negeri.

“Perbelanjaan pengguna perlahan, kelembapan dalam sektor hartanah dan peningkatan hutang isi rumah, mungkin akan memberi kesan terhadap tekanan inflasi pada masa hadapan,” menurut firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.

RHB Research menjangkakan pelarasan harga dan kelemahan kadar pertukaran ringgit mungkin menaikkan harga barangan yang diimport dan memberikan tekanan ke atas inflasi tahun ini.

Akhir moratorium ke atas margin keuntungan berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan juga dijangka memberi tekanan harga ke atas barangan dan perkhidmatan pada separuh kedua tahun 2016.

Sejak akhir 2015, harga runcit bahan api dalam negeri menyaksikan penurunan ketara, kira-kira 18 hingga 29 peratus pada suku pertama tahun ini.

Tetapi, pemulihan harga minyak global kepada lebih US$40 setong telah menyebabkan kenaikan 5.1 hingga 14.8 peratus harga bahan api dalam negeri pada April.

ARTIKEL YANG SAMA