Kadar inflasi S’pura terus turun

Kadar inflasi S’pura terus turun

SINGAPURA, 24 Dis (BHS) – Inflasi Singapura turun 0.8 peratus bulan lalu – penurunan 13 bulan berturut-turut – disebabkan kos makanan dan khidmat lebih rendah.

Penurunan itu lebih banyak daripada ramalan para pengamat Reuters yang menjangkakan penurunan 0.7 peratus.

Sepanjang tahun ini, inflasi dijangka mencapai -0.5 peratus dan -0.5 hingga 0.5 peratus tahun depan, menurut kenyataan bersama Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Inflasi utama pula, yang tidak mengambil kira kos penginapan dan pengangkutan swasta, dijangka mencecah 0.5 peratus tahun ini dan 0.5-1.5 peratus tahun depan.

Menurut kenyataan pemerintah, kos makanan mencecah 1.6 peratus bulan lalu, berbanding 1.8 peratus pada Oktober disebabkan “kenaikan lebih perlahan bagi harga makanan mentah dan makanan di restoran”.

Inflasi khidmat pula susut 0.7 peratus daripada 0.8 peratus pada Oktober disebabkan kos penjagaan kesihatan lebih rendah ekoran pengenalan pelan insurans kesihatan asas, MediShield Hayat, yang ditadbir oleh Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Pasaran harga sewa rumah yang lemah juga menjejas kos penginapan yang susut 3 peratus bulan lalu, serupa Oktober.

Kos pengangkutan swasta susut lebih sederhana sebanyak 1.7 peratus disebabkan harga minyak lebih lemah, berbanding penurunan 2.3 peratus pada Oktober.

Inflasi Singapura turun sejak November tahun lalu ekoran kemerosotan harga minyak, kos penginapan dan pengangkutan.

Kelembapan ekonomi China juga telah menjejas ekonomi berteras eksport di rantau ini termasuk Singapura.

Menurut MAS dan MTI, sumber inflasi dari luar negara dijangka sederhana ekoran permintaan sejagat yang lemah dan bekalan mencukupi dalam pasaran komoditi.

Harga minyak dijangka kekal rendah tahun depan.

Namun harga makanan boleh meningkat disebabkan fenomena El Nino tetapi mungkin diredakan stok makanan yang banyak.

“Pada peringkat domestik, terdapat tekanan kos gaji lebih tinggi tetapi peralihan kos kepada pengguna dijangka terkawal oleh sekitaran pertumbuhan ekonomi yang lemah,” ujar MAS dan MTI.