Kadar jangka hayat orang Brunei meningkat

Kadar jangka hayat orang Brunei meningkat

Oleh Normazlina M.D

 

pg01_160318_MMN_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Dalam Majlis Mesyuarat Negara Hari ke-10, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi semasa menyampaikan mukadimahnya menyatakan sebanyak $349,597,790 telah diperuntukkan bagi Kementerian Kesihatan bagi Tahun 2016-2017.

Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa ini menunjukkan betapa kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan sikap keprihatinan, pemedulian dan komitmen Baginda yang sentiasa mengambil berat akan perkhidmatan penjagaan kesihatan rakyat dan penduduk di negara ini.

Yang Berhormat Dato turut mengongsikan beberapa pencapaian signifikan yang diraih oleh negara ini pada 20 tahun di kebelakangan ini, iaitu meningkatnya kadar jangka hayat yang mana ia telah meningkat daripada umur 73 tahun ke 76 tahun bagi kaum lelaki, dan kadar jangka hayat bagi kaum wanita ialah daripada 76 tahun ke 79 tahun.

“Walau bagaimanapun, pencapaian tersebut bukanlah bermakna kita dapat bersikap leka,” jelas Yang Berhormat Dato yang mana kementeriannya menyedari bahawa masih banyak cabaran yang perlu ditangani dalam mencapai tahap kesihatan yang berkualiti tinggi termasuklah dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, perubahan demografi penduduk, dan peningkatan kadar penyakit-penyakit tidak berjangkit.

Menurut Yang Berhormat Dato lagi, lebih membimbangkan lagi penyakit-penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis sudah mula timbul dalam kalangan orang-orang yang masih muda, berumur dalam lingkungan 20-30 tahun.

Ini bukan sahaja memberikan implikasi kepada kos rawatan yang kian meningkat, malahan produktiviti juga turut terjejas, jika si pesakit menjalankan rawatan yang berterusan. Ini menggambarkan situasi yang tidak memberangsangkan dalam keadaan negara yang memerlukan rakyat yang produktif di samping keperluan perbelanjaan yang berhemah serta bernilai tinggi, jelasnya.

ARTIKEL YANG SAMA