Kadar jenayah di Labuan tidak berubah

Kadar jenayah di Labuan tidak berubah

LABUAN, 1 Dis (Bernama) – Kadar jenayah di pulau bebas cukai di sini bagi tempoh 11 bulan tahun ini tidak berubah berbanding kadar pada 2014.

Statistik indeks jenayah sehingga 30 Nov lalu mencatat 186 kes atau 0.00 peratus secara perbandingan dengan tempoh sama tahun lalu.

Ketua polis Labuan, Cif Supt Adzhar Othman berkata pencapaian positif polis Labuan itu adalah hasil kerjasama orang awam menjadi mata dan telinga menjaga keselamatan dan memantau kejadian jenayah dalam masyarakat.

“Kami bangga untuk menyatakan pencapaian ini disumbangkan oleh dedikasi dan komitmen penuh anggota polis serta kerjasama orang awam,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah tugas timbalan ketua polis di sini hari ini.

Ketua Polis Labuan, Supt Adzhar Othman (tengah) menyaksikan majlis penyeraha tugas Timbalan ketua Polis daripada ASP Wilynton Enchana Watt (kanan) kepada DSP Mohd Ibrahim Mohd Ghani (kiri) semalam. – Bernama
Ketua Polis Labuan, Supt Adzhar Othman (tengah) menyaksikan majlis penyeraha tugas Timbalan ketua Polis daripada ASP Wilynton Enchana Watt (kanan) kepada DSP Mohd Ibrahim Mohd Ghani (kiri) semalam. – Bernama

Beliau berkata tidak ada kes pembunuhan dan rompakan bersenjata direkodkan sejak tahun lalu kecuali kes rompakan berkumpulan tanpa senjata yang berjaya diselesaikan.

“Kami mencatat 10 kes mendatangkan kecederaan dan satu kes ragut dan semua kes berjaya diselesaikan,” katanya.

Bagi jenayah harta benda katanya motosikal mencatat 25 kes kecurian dengan sembilan daripadanya berjaya diselesaikan, 43 kes pecah masuk rumah dan tiada kes cuti kenderaan.