Kadar kematian penyu meningkat

Kadar kematian penyu meningkat

KUALA TERENGGANU, 29 Mac (Bernama) – Bulan Januari hingga April setiap tahun mencatatkan peningkatan kematian penyu ekoran tersangkut pada pukat nelayan atau terkena kipas bot yang membawa pelancong.

Ketua Projek Unit Penyelidikan Penyu (SEATRU), Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Juanita Joseph berkata ini dibuktikan menerusi kajian yang dibuat unit itu.

Beliau berkata walaupun kini musim monsun, bilangan nelayan yang turun ke laut masih tinggi kerana ketika ini jumlah ikan akan bertambah banyak.

“Penggunaan pukat yang membahayakan penyu perlu dipantau bagi mengelak kematian haiwan ini berulang di masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kematian dua ekor penyu dalam tempoh dua hari berturut-turut iaitu di pantai Batu Buruk dan di Dungun.

Pantai Batu Burok yang terkenal di kalangan pelancong tempatan dan asing dikejutkan dengan kehadiran seekor penyu yang ditemui mati terdampar di pantai tersebut. – Bernama
Pantai Batu Burok yang terkenal di kalangan pelancong tempatan dan asing dikejutkan dengan kehadiran seekor penyu yang ditemui mati terdampar di pantai tersebut. – Bernama

Juanita berkata kematian penyu-penyu itu dipercayai akibat tersangkut pada pukat nelayan berdasarkan kepada kesan kecederaan pada cengkerangnya.

Beliau berkata selepas April, kebiasaannya kematian penyu akan berkurangan dan jika berlaku, ia disebabkan terkena kipas bot yang membawa pelancong.

“Selepas April, pulau-pulau peranginan di Terengganu mula dibuka kepada pelancong dan risiko kematian penyu akibat dilanggar bot pelancong juga agak tinggi,” katanya. Sementara itu, data daripada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menunjukkan terdapat lapan kematian penyu direkodkan di seluruh negeri itu setakat ini.

Daripada jumlah itu, tiga kematian penyu direkodkan di pantai Marang, dua kematian di Pulau Kapas dan masing-masing satu di Seberang Takir dan Batu Buruk manakala satu kematian penyu terbaharu di Dungun, yang ditemui orang awam pagi tadi.

ARTIKEL YANG SAMA