Kadar kemiskinan Sarawak menurun

Kadar kemiskinan Sarawak menurun

KUCHING, 25 Ogos (Bernama) – Kadar kemiskinan di Sarawak menurun pada tahap 0.9 peratus tahun lepas berbanding 2.4 peratus pada 2012, kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Dr Abdul Rahman Hasan.

Beliau berkata pendapatan isi rumah bulanan di negeri ini telah meningkat sebanyak tujuh peratus iaitu daripada RM4,293 pada tahun 2012 kepada RM4,934 pada tahun 2014.

“Peningkatan ini turut dinikmati oleh golongan berumur bawah 40 tahun dengan pendapatan purata telah meningkat sebanyak 13.8 peratus iaitu daripada RM1,552 (2012) kepada RM2,044 (2014),” katanya ketika merasmikan Seminar Transformasi Statistik Bersama Komuniti anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sarawak, di sini, Selasa.

Abdul Rahman berkata statistik juga menunjukkan kadar pengangguran di Sarawak menurun kepada 3.1 peratus pada tahun lepas berbanding 4.4 peratus pada tahun 2010.

Beliau menyatakan pada 40 tahun lalu, lebih daripada separuh penduduk di Sarawak berada dalam kemiskinan dengan kadar 56.5 peratus.

Sementara itu, beliau berkata statistik memainkan peranan penting untuk negara mencapai status negara maju kerana setiap dasar yang dibangunkan mestilah berasaskan statistik yang berkualiti, berintegriti dan tepat.