Kadar levi baru pekerja asing berdaftar, tambah pendapatan negara

Kadar levi baru pekerja asing berdaftar, tambah pendapatan negara

SIBU, 31 Jan – Keputusan kerajaan untuk menyusun semula sistem kadar levi untuk pekerja asing kepada dua kategori sahaja dijangka memberi pendapatan tambahan RM2.5 bilion kepada negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kadar baharu itu akan berkuat kuasa mulai esok, 1 Februari.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS), satu-satunya universiti di tengah Sarawak yang merupakan sebahagian program lawatan dua hari beliau ke bandar ini yang berakhir hari ini.

Beliau berkata sebelum ini, pekerja asing dikenakan kadar berbeza berdasarkan kepada sektor-sektor di mana mereka bekerja seperti pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perladangan dan pertanian.

“Sekarang hanya ada dua kategori. Pertama adalah untuk mereka yang berada di sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan. Di sini setiap pekerja akan dikenakan kadar baharu RM2,500.

“Bagi mereka yang bekerja di sektor ladang dan pertanian yang terletak di bawah kategori kedua, kadar tersebut adalah RM1,500 bagi setiap pekerja,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, pekerja domestik dikecualikan. – Bernama