Kadar pengangguran Singapura turun

Kadar pengangguran Singapura turun

SINGAPURA, 3 Mei (Bernama) – Kadar pengangguran di Singapura kekal rendah dan berada dalam aliran menurun sejak empat suku lepas apabila pasaran buruh terus kukuh.

Kadar pemberhentian pekerja berkurangan dalam kebanyakan industri dan kadar pengangguran bagi warganegara dan pemastautin rendah pada suku pertama 2015. Pekerjaan terus berkembang, walaupun pada kadar perlahan berbanding tempoh bermusim tinggi pada akhir tahun lepas.

Ini merupakan dapatan awal utama daripada laporan ‘Situasi Pekerjaan, Suku Pertama 2015’ yang dikeluarkan oleh Jabatan Penyelidikan Tenaga Kerja dan Perangkaan, Kementerian Tenaga Kerja (MOM) di sini, semalam.

Menurut laporan itu, anggaran awal menunjukkan keseluruhan pelarasan bermusim kadar pengangguran turun daripada 1.9 peratus pada Disember 2014 kepada 1.8 peratus pada Mac 2015.

Begitu juga, kadar pengangguran turun pada suku itu bagi pemastautin daripada 2.7 peratus kepada 2.5 peratus, dan bagi warganegara daripada 2.7 peratus kepada 2.6 peratus.

MOM berkata kadar pekerjaan pada Mac 2015 meningkat sebanyak 2.9 peratus yang menjadikan jumlah bilangan pekerja sebanyak 3,624,200 orang.

Lebih banyak data pasaran buruh menyeluruh akan dikeluarkan dalam ‘Laporan Pasaran Buruh, Suku Pertama 2015’ pada 15 Jun tahun ini.