Kaedah Akuaponik jana penghasilan bermutu tinggi

Kaedah Akuaponik jana penghasilan bermutu tinggi

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 1 Dis – Brunei perlu melihat pelaburan dalam akuaponik sebagai kaedah pertanian berterusan kerana ia mampu menghasilkan jumlah tinggi makanan di kawasan padat dengan sisa alam sekitar yang sedikit.

Pengasas Taiwan-based-Go-Change Ltd dan rakan perunding Syarikat Agrotechnology BFB, Huang Shih Ming berkata, kepelbagaian fungsi sistem akuaponik boleh digunakan secara komersial oleh pengeluar di ladang-ladang yang ditetapkan, malahan ia juga boleh ditanam di kawasan rumah termasuk di atas bumbung bangunan.

“Sebaik sahaja sistem akuaponik dibentuk, kita tidak perlu memanipulasi dan menyesuaikan pemboleh ubah seperti suhu, pH, atau jumlah baja seperti biasanya yang diperlukan tanaman.

Inilah sebabnya mengapa aquaponik mapan,” katanya ketika bercakap kepada media, dengan bantuan penterjemah di Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC), di sini.

Menurutnya lagi, terdapat beberapa sistem akuaponik, termasuk banyak yang telah dipatenkan, tetapi sistem asasnya adalah berkongsi proses penternakan ikan, dan ia adalah sistem pertanian berlanjutan yang boleh menggabungkan akuakultur dan hidroponik dalam keadaan yang bersifat simbiotik dan menghasilkan 100 peratus organik.

“Hasil yang diperoleh daripada ladang kemudian menyerap nitrat daripada ekskremen nutrien ikan, meninggalkan air yang telah ditapis sebahagiannya kerana ia memasuki proses penapisan akhir sebelum diedarkan semula ke dalam tangki ikan,” jelas beliau.

Katanya lagi, paling biasa dihasilkan adalah sayur-sayuran, tetapi pokok buah-buahan seperti pisang juga mungkin jika diberi ruang yang betul dan sokongan. Selain itu, katanya, petani juga boleh mengalihkan tumpuan akuaponik ke arah penternakan ikan untuk kegunaan sendiri.

Akan tetapi sistem ini lebih baik berfungsi apabila mengutamakan sama ada pertanian tumbuhan atau ikan, satu demi satu.

Huang Shin Ming kini sedang bekerjasama dengan BFB untuk mereka bentuk sistem akuaponik di atas plot satu hektar tanah yang telah ditetapkan oleh kerajaan di Jalan Lampaki, Kampung Mulaut.

“Tapak itu nanti disasarkan sebagai pelantar, mempamerkan daya maju teknologi akuaponik di negara ini kepada peniaga, pelajar dan orang ramai,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA