Kaedah baharu banteras sijil nikah palsu

KUALA TERENGGANU, 11 Mac – Kerajaan Terengganu akan bekerjasama dengan Pejabat Konsulat Malaysia di Selatan Thailand agar kaedah mencatat nombor siri pada sijil perkahwinan melibatkan pasangan berasal dari negeri ini, dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia & Tugas Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata kaedah itu perlu disegerakan bagi mengelak penipuan surat nikah palsu oleh sesetengah pasangan yang tidak bertanggungjawab.

“Saya dimaklumkan pada tahun lalu, terdapat antara 40 dan 50 kes pernikahan yang dijalankan sindiket tertentu kononnya pernikahan berlaku di Selatan Thailand, namun sebenarnya pernikahan itu berlaku di Terengganu.

“Ini disebabkan pasangan suami isteri itu tidak memikirkan kesan negatif di sebalik perbuatan mereka, selalunya melibatkan kes berpoligami kerana enggan membuat permohonan nikah di mahkamah syariah,” katanya. – Bernama