Kaedah JITPA diperkenalkan

Kaedah JITPA diperkenalkan

Oleh Ampuan Irma Susanti Ampuan Hussain

 

BANGAR, 1 Sept – Dalam usaha Jabatan Buruh untuk mendokong hasrat dan misi kerajaan Negara Brunei Darussalam untuk mewujudkan suasana ‘pro business’, beberapa perubahan dan tatacara pembayaran wang taruhan pengambilan pekerja asing telah pun dilakukan bertujuan untuk mengurangkan beban majikan dalam mendatangkan pekerja asing di negara ini.

Ini termasuklah dengan menggunakan Jaminan Insurans/Takaful Pekerja Asing (JITPA) bagi pembayaran wang taruhan pekerja asing yang baru diperkenalkan oleh Jabatan Buruh, yang merupakan alternatif selain secara tunai dan dengan jaminan bank, sepertimana yang sedang dibuat pada masa ini.

Perkara tersebut dijelaskan dalam Jerayawara Pemberigaan Polisi dan Tatacara Pembayaran Wang Taruhan Pengambilan Pekerja Asing bagi peringkat Daerah Temburong di Dewan Serbaguna Kompleks Utama Bumiputera Pekan Bangar, di sini.

Hadir di majlis itu ialah Pemangku Pesuruhjaya Buruh selaku Pengerusi Majlis, Haji Rani bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohammad Yusof, yang turut menyampaikan ucapan alu-aluan kepada kira-kira 100 orang pengurus syarikat yang berdaftar di daerah tersebut.

Turut hadir, pemangku timbalan pesuruhjaya buruh dan pegawai-pegawai kanan di Jabatan Buruh serta pemangku pengurus besar, pemangku timbalan pengurus besar dan pegawai-pegawai kanan dari Syarikat Takaful Brunei Am Sdn Bhd.

Haji Rani ketika menyampaikan taklimat pada jerayawara tersebut.
Haji Rani ketika menyampaikan taklimat pada jerayawara tersebut.

Dalam taklimat tersebut, Pegawai Kewangan Jabatan Buruh, Dayang Asiah bin Ibrahim, dalam sesi taklimatnya menjelaskan, pengeluaran wang taruhan yang telah dibayar oleh majikan sebelum ini yang telah disimpan di dalam akaun kerajaan, akan diproses hanya setelah majikan membeli jaminan insurans/takaful pekerja asing (JIPTA) dan setelah lesen kuota diperbaharui.

Tambahnya, berikutan dengan penurunan kadar ini, sebarang permohonan tuntutan balik baki wang taruhan pengambilan pekerja asing (refund) yang telah dibayar oleh majikan sebelum ini akan mula dibukakan mulai 9 Januari 2017 selepas majikan memperbaharui permohonan lesen kuota. Majikan juga boleh mengekalkan wang taruhan tersebut di dalam simpanan kerajaan dan menuntut balik apabila lesen kuota dibatalkan.

Turut diperkenalkan ialah kadar wang taruhan pengambilan pekerja asing yang diturunkan kepada kadar lebih rendah dan berpatutan. Perubahan ini mula dikuatkuasakan hari ini yang bertujuan untuk meningkatkan lagi komitmen dalam memperbaiki iklim perniagaan secara berterusan ‘ease of doing business’.

Turut menyampaikan taklimat ialah perwakilan dari Syarikat Takaful Brunei Am, Dayang Nursadrina binti Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili Al-Hafiz. Beliau dalam taklimatnya menerangkan mengenai produk takaful dan kelebihannya kepada majikan-majikan serta kebajikan pekerja.

Setakat ini sebanyak 150 pengusaha tempatan yang berdaftar di Daerah Temburong daripada lebih 30 ribu orang di negara ini telah dicatatkan. Jerayawara diakhiri dengan sesi soal jawab daripada para pengusaha yang hadir.

ARTIKEL YANG SAMA