Kafe Destinasi Tutong mula operasi

Kafe Destinasi Tutong mula operasi

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 19 Mei – Bagi membantu meningkatkan produk perekonomian masyarakat kampung dan mukim di Daerah Tutong, Syarikat Pengurusan dan Pelancongan Destinasi Daerah Tutong melalui Badan Penyelaras dan Promosi Daerah Tutong telah mengembang majukan perkhidmatannya dengan menubuhkan Kafe Destinasi Tutong.

Kafe yang beroperasi di Galeri 2, Pusat Aktiviti MPMK di Tingkat Bawah Jabatan Dearah Tutong itu berperanan sebagai meningkatkan dan memantapkan produktiviti dan kualiti produk terutama dalam mempromosikan makanan dan minuman MPMK Daerah Tutong.

Perkara ini dijelaskan oleh Haji Boharuddin bin Haji Bolhassan dari Bahagian Perkhidmatan Am dan Kewangan, Badan Penyelaras dan Promosi Daerah Tutong ketika di temu bual Media Permata, pagi tadi.

Kafe ini menawarkan berbagai-bagai jenis pilihan makanan harian yang dihasilkan oleh ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung Daerah Tutong.

Haji Boharuddin turut memberitahu bahawa orang ramai khususnya penduduk kampung di Daerah Tutong yang berkeinginan menawarkan makanan atau minuman mereka ke kafe tersebut perlulah berjumpa ke ketua kampung mereka bagi memohon mengikuti jualan produk makanan atau minuman di kafe tersebut.

Pekerja-pekerja Kafe Destinasi Tutong terdiri daripada anak-anak muda tempatan.
Pekerja-pekerja Kafe Destinasi Tutong terdiri daripada anak-anak muda tempatan.

Dengan adanya kafe ini, ia juga akan mendokong usaha-usaha Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, dan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dalam memangkin perkembangan sosioekonomi negara melalui perusahaan kecil dan sederhana untuk menjadikan masyarakat di daerah ini lebih berdikari, berdaya maju dan berdaya saing.

Haji Boharuddin menambah bahawa perkhidmatan itu juga menyumbang peluang-peluang pekerjaan yang mana para pekerja kafe terdiri daripada anak-anak muda tempatan, khusus yang tinggal di Daerah Tutong.

Beliau turut melahirkan harapannya bahawa dengan tertubuhnya Kafe Destinasi Tutong ini, ia akan terus mendapat sokongan orang ramai dan beroperasi dengan efektif dan lancar serta akan dapat menjana hasil jualan produk perkhidmatan, lawatan, pelancongan dan perekonomian mukim dan kampung di daerah ini.

Kafe ini sudah dibukakan kepada orang ramai pada setiap hari waktu bekerja, bermula jam 7.30 pagi hingga 5 petang.

ARTIKEL YANG SAMA