Kagawa bakal jadi tumpuan

Kagawa bakal jadi tumpuan

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) – Pemain tengah Jepun Shinji Kagawa akan mengetuai barisan bintang Borussia Dortmund menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan persahabatan antarabangsa pertama antara kedua-dua kelab berkenaan di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos di Larkin, malam ini.

Kagawa, bekas pemain Manchester United, adalah antara 27 pemain disenaraikan oleh juara lapan kali Bundesliga Jerman itu pada perlawanan di Malaysia dalam Jelajah Asia 2015, selepas pasukan itu membelasah kelab Liga-J, Kawasaki Frontale 6-0 dalam perlawanan pra-musim pertama mereka.

Kelab Jerman itu yang juga dikenali sebagai BVB, menampilkan aksi cemerlang di hadapan 24,650 penyokong fanatik di Stadium Todoroki pada Selasa lepas, yang mana Kagawa dan Pierre-Emerick Aubameyang, masing-masing mempamerkan kehebatan, dengan gol lain turut dijaringkan oleh Maruoka dan Stankovic.

“Borussia Dortmund tiba di Singapura hari ini untuk perlawanan pra-musim kedua Jelajah Asia mereka. Selepas satu malam di bandar raya itu, BVB akan ke Johor Baharu esok untuk sesi bertemu penyokong Malaysia di Kedai Puma di Komtar, JBCC (2.30-3.15 petang) dan Kedai Sukan Al-Ikhsan di Bandar Baru Uda (2.30-3.30 petang).

“Pasukan itu akan beraksi di hadapan lebih 30,000 penonton pada perlawanan menentang Harimau Selatan pada 9.45 malam esok. Perlawanan itu berlangsung hasil perjanjian kerjasama antara JDT dan BVB pada 2014,” kata JDT dalam kenyataan.

Shinji Kagawa (kanan) menandatangani autograf peminat selepas sesi latihan di Kawasaki, subbandar Tokyo kelmarin. – AFP
Shinji Kagawa (kanan) menandatangani autograf peminat selepas sesi latihan di Kawasaki, subbandar Tokyo kelmarin. – AFP

Perjanjian itu menyaksikan kedua-dua kelab berkenaan berkongsi maklumat dalam aspek kejurulatihan dan latihan serta pertukaran pemain pada masa hadapan, demi pembangunan bola sepak dalam kalangan remaja di Johor.

Pemain Borussia Dortmund lain yang akan beraksi pada perlawanan persahabatan itu termasuk Mats Hummels, Henrikh Mkhitaryan, Marco Reus, Gonzalo Castro, Jeremy Dudziak, Mitsuru Maruoka, Jon Stankovic dan Matthias Ginter.

Barisan pemain Dortmund terdiri daripada Pierre-Emerick Aubameyang, Sven Bender, Jakub Blaszozykowski, Hendrik Bonmann, Gonzalo Castro, Jeremy Dudziak, Erik Durm, Matthias Ginter, Kevin Grosskreutz, Mats Hummels, Ciro Immobile, Shinji Kagawa, Kevin Kampl, Oliver Kirch, Mitch Langerak, Mitsuru Maruoka, Henrikh Mkhitaryan, Sokratis Papastathopoulos, Lukasz Piszczek, Adrian Ramos, Marco Reus, Nuri Sahin, Marian Sarr, Marcel Schmelzer, Neven Subotic, Roman Weidenfeller dan Julian Weigl.

ARTIKEL YANG SAMA