Kagum dengan budaya Brunei

Kagum dengan budaya Brunei

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 19 Ogos – Walaupun Negara Brunei Darussalam merupakan sebuah negara yang kecil, namun ia kaya dengan alam semula jadi dan mempunyai budaya warisan yang sangat dikagumi.

Pandangan mengenai Brunei ini dikongsikan oleh dua orang pelajar dari Sekolah Menengah Wakayama, Jepun, Kosuke Takizawa dan Taku Harami ketika ditemu bual semasa membuat lawatan ke kilang sagu di Kampung Ukong, pagi tadi.

Mereka berkata, sepanjang berada di Brunei, mereka dilayan baik oleh masyarakat Brunei yang menurut mereka semuanya baik dan peramah.

Di samping itu, mereka juga berkesempatan merasa makanan orang Brunei dan pertama kali merasa makanan tradisi Brunei iaitu Ambuyat.

Menurut mereka, Ambuyat mempunyai rasa yang unik dan tidak sama seperti kek beras di Jepun. Mereka juga berharap, jika ada masa terluang dan diberi peluang, mereka ingin datang ke Negara Brunei Darussalam bersama ahli-ahli keluarga untuk menikmati pemandangan dan makanan enak di Brunei.

Kosuke Takizawa, Taku Harami dan Kento Kawamoto merupakan antara 15 orang pelajar yang menyertai Program Inap Desa Wakayama selama tujuh hari sehingga esok.

Sepanjang berada di negara ini, mereka tinggal bersama keluarga angkat, Haji Mohammad Yusof di Kampung Sengkarai.

Beberapa lawatan telah pun diaturkan sepanjang keberadaan mereka untuk meninjau tempat-tempat menarik di negara ini selain menimba pengalaman dan mempelajari budaya dan warisan Brunei.

Sejak program ini diperkenalkan pada tahun 2009, lebih 100 orang pelajar dari Brunei dan Jepun telah menyertainya. Di samping mengukuhkan hubungan dua hala, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kefahaman antara negara-negara melalui penglibatan belia dari kedua-dua buah negara.

ARTIKEL YANG SAMA