Kagum kehebatan kapal pengangkut tentera laut AS

Kagum kehebatan kapal pengangkut tentera laut AS

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei – Kapal Pengangkut Tentera Laut Amerika Syarikat (USN), USS John C. Stennis (CVN-74) kini sedang berada di perairan antarabangsa melintas berhampiran Negara Brunei Darussalam bagi menjalankan operasi-operasi rutin.

Ini telah memberi peluang kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Brunei Darussalam untuk mengendalikan lawatan bagi sekumpulan pelawat dari Kementerian Pertahanan dan media tempatan ke kapal berkenaan.

Turut menyertai lawatan itu ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit dan Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Datin Paduka Hajah Suriyah binti Haji Umar bersama Duta Besar Amerika Syarikat ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig Allen.

Ketibaan rombongan telah dialu-alukan oleh Pemerintah Carrier Strike Group Three, Laksamana Muda Marcus Hitchcock. Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, lawatan ini merupakan usaha untuk meningkatkan hubungan kerjasama pertahanan di antara Brunei Darussalam dan AS di samping menandakan hubungan erat di antara kedua-dua buah negara.

Lawatan dimulakan taklimat mengenai pengenalan keupayaan USS John C. Stennis (CVN-74) dan peranannya yang disampaikan oleh Laksamana Muda Marcus Hitchcock.

Kapal Pengangkut Tentera Laut Amerika Syarikat, USS John C. Stennis (CVN-74).
Kapal Pengangkut Tentera Laut Amerika Syarikat, USS John C. Stennis (CVN-74).
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Laksamana Muda Marcus Hitchcock (kanan).
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Laksamana Muda Marcus Hitchcock (kanan).
(Dari kiri) Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz, Laksamana Muda Marcus Hitchcock dan Tuan Yang Terutama Craig Allen.
(Dari kiri) Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz, Laksamana Muda Marcus Hitchcock dan Tuan Yang Terutama Craig Allen.

Rombongan kemudian berpeluang memasuki ruang navigation bridge dan dek kawalan penerbangan, malah rombongan turut dikejutkan dengan persembahan udara menggunakan pesawat-pesawat yang digunakan bagi kuasa udara dan untuk menjaga keselamatan perairan antarabangsa.

Antara demonstrasi strategi ketenteraan itu termasuk menjatuhkan asap ke dalam air menggunakan HSC-14, Dog Fight menggunakan jet pejuang VFA-14, penembakan bom menggunakan pesawat VFA-151 dan memancar alat Sonar ke dalam air menggunakan helikopter HSM-71.

Di akhir lawatan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz menyampaikan cenderamata kepada Laksamana Muda Marcus Hitchcock sebagai tanda penghargaan di atas peluang lawatan tersebut.

Laksamana Muda Marcus Hitchcock ketika ditemu bual menjelaskan, antara keupayaan USS John C. Stennis (CVN-74) adalah untuk memberi keselamatan rantau dengan menghalang penyeludupan, pengganas dan aktiviti-aktiviti jenayah.

Sesi bergambar ramai bersama rombongan.
Sesi bergambar ramai bersama rombongan.

USS John C. STennis juga akan menyertai eksesais ‘Rim of the Pacific Exercise’ RIMPAC yang akan bermula pada awal bulan Julai ini nanti, tetapi menurut beliau, jumlah pasukan yang akan menyertai masih belum diumumkan lagi.

“Dengan eksesais ini nanti akan dapat bekerjasama dengan kesemua negara di Pasifik,” tambah beliau.

Kapal Pengangkut John C. Stennis Strike Group (JCSSG) merupakan kapal yang menggunakan sistem cekap tenaga semasa menjalankan operasi, dengan beroperasi menggunakan dua reaktor nuklear, menjimatkan 130,000 galon minyak setiap hari dan mampu bergerak sejauh sejuta batu sebelum pengisian minyak seterusnya.

USS John C. Stennis (CVN-74) dengan ukuran 4.5 ekar besar mempunyai lebih 60 buah pesawat pelbagai jenis termasuk jet pejuang F-18 Super Hornets dan E2 Hawkeye. Kapal ini juga menampung lebih 6,000 orang anak kapal dan marin, dengan 20 peratus daripadanya adalah wanita.

ARTIKEL YANG SAMA