Kagum keunikan Islam Brunei

Kagum keunikan Islam Brunei

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Nov – Negara Brunei Darussalam mempunyai budaya, sejarah dan khazanah Islam yang unik dan tersendiri yang menjadi tarikan bagi para pelancong dari luar negara untuk saksikan dan alami sendiri.

Sehubungan dengan itu, rombongan dari The Islamic Union of Hong Kong yang diketuai oleh Pengerusi Persatuan, Suffiad Azizul Ar-Rahman mengadakan lawatan selama tiga hari ke negara ini untuk menyaksikan sendiri sejarah, budaya dan pertukaran ilmu pengetahuan mengenai Negara Brunei Darussalam.

Persatuan itu merupakan antara persatuan Islam yang tertua dan aktif di Hong Kong di mana ia menjadi pusat bagi semua masyarakat Muslim di Hong Kong dan lawatan rombongan itu merupakan lawatan pertama ke Negara Brunei Darussalam.

Rombongan itu berada di Brunei bermula dari 19 November dan berlepas pulang ke Hong Kong pada hari ini.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlayar kepada rombongan berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Awang Wardi bin Haji Mohd Ali.

Suffiad Azizul Ar-Rahman (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Awang Wardi sebelum belepas meninggalkan Negara Brunei Darussalam.
Suffiad Azizul Ar-Rahman (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Awang Wardi sebelum belepas meninggalkan Negara Brunei Darussalam.
Awang Wardi berkesempatan bergambar ramai bersama rombongan The Islamic Union of Hong Kong di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Awang Wardi berkesempatan bergambar ramai bersama rombongan The Islamic Union of Hong Kong di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Semasa lawatan di Brunei, rombongan itu berpeluang melawat ke beberapa buah masjid utama di Daerah Brunei Muara dan juga mengadakan lawatan ke Pejabat Mufti Kerajaan, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan juga mengambil bahagian dalam kegiatan riadah bersama masyarakat Islam setempat.

Suffiad Azizul Ar-Rahman dalam wawancara ringkas bersama Media Permata di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, menyatakan bahawa beliau bersama-sama ahli rombongannya berasa amat kagum dengan keindahan dan keunikan budaya Islam masyarakat Brunei serta struktur masjid-masjid yang indah.

Di samping itu, beliau juga amat terpegun dengan layanan mesra daripada masyarakat Brunei kepada mereka sepanjang lawatan yang ringkas tetapi amat bermakna bagi mereka itu.

Beliau melahirkan harapan untuk kembali lagi ke Negara Brunei Darussalam dengan rombongan yang lebih besar pada 2017 apabila Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jabatan Mufti, Jabatan Perdana Menteri, siap pembinaannya nanti.

Beliau juga berharap supaya lebih banyak maklumat mengenai Brunei khususnya mengenai sejarah, keunikan khazanah serta budaya masyarakat Brunei dapat diketengahkan di Hong Kong kerana beliau percaya maklumat itu amat berguna untuk menarik lebih ramai pengunjung untuk melawat negara indah, Brunei.

Rombongan berkenaan memberikan respons positif mengenai pengalaman mereka sepanjang lawatan ke Brunei di mana mereka amat tertarik dan teruja dengan lawatan mesra penduduk Brunei, suasana negara yang bersih dan aman serta yakin bahawa Brunei berpotensi untuk menjadi destinasi pelancongan keluarga bagi pasaran Hong Kong.

Mereka juga amat teruja dengan seni binaan Islam menarik masjid-masjid di Brunei yang dilawati serta gaya hidup amalan harian masyarakat Brunei yang mereka temui yang benar-benar menonjolkan serta mencerminkan Negara Zikir.

Rombongan lawatan itu juga berpeluang untuk mengadakan kunjungan muhibah kepada Awang Wardi, kelmarin, serta mengadakan perbincangan dan bertukar-tukar idea mengenai kaedah untuk mengembangkan lagi industri pelancongan negara khususnya dengan tumpuan kepada kegiatan-kegiatan Islam bagi persatuan-persatuan Islam di Hong Kong.

Ahli rombongan itu berkata bahawa kekuatan Brunei terletak pada gaya hidup dan budaya Islam negara termasuk juga makanannya yang halal di mana pengalaman sepanjang lawatan mereka itu banyak memberikan kenangan manis kepada mereka.

Mereka berkata lagi, mereka akan kembali ke Brunei untuk menikmati lebih banyak lagi yang ditawarkan oleh Brunei melalui pakej-pakej percutian yang berasaskan kepada elemen kesejahteraan dan penglibatan kebudayaan di mana pakej itu menyasarkan musim panas dan musim-musim percutian di Hong Kong.

Dalam perbincangan itu juga, mereka berkata bahawa penumpang-penumpang transit dari Hong Kong dan negara-negara lain serantau juga merupakan pasaran yang berpotensi untuk diterokai.

ARTIKEL YANG SAMA