Kagum persembahan penuh patriotik

Kagum persembahan penuh patriotik

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Feb – Bertemakan ‘Generasi Berwawasan,’ sambutan bersejarah Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 hari ini cukup meriah di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

Rakyat bukan sahaja sama-sama terlibat dalam persembahan malahan sebagai penonton di luar, tidak ketinggalan menunjukkan kekaguman terhadap semangat taat setia mereka yang terlibat.

Salah seorang yang menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan ialah Awang Mohd Faisal bin Haji Azlan, dari Kampung Setia ‘A’ yang melahirkan perasaan kagum selepas menyaksikan acara perbarisan. Menurutnya, walaupun nampak ringkas, namun ia bertepatan dengan hasrat kerajaan melahirkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan rakyat.

Manakala Dayang Fatimah binti Haji Mohammad, 54, dari Kampung Katok mengagumi keindahan gerak langkah perbarisan dan pertunjukan sepanjang acara itu.

Menurutnya, setiap tahun beliau datang untuk menyaksikan kehebatan sambutan Hari Kebangsaan dan tahun ini, kemeriahan dan persembahan cukup mantap.

Awang Mohd Faizal bersama anak berpuas hati menyaksikan persembahan yang unik.
Awang Mohd Faizal bersama anak berpuas hati menyaksikan persembahan yang unik.
Dayang Fatimah bersama keluarga tidak pernah ketinggalan sama-sama menyemarakkan Hari Kebangsaan.
Dayang Fatimah bersama keluarga tidak pernah ketinggalan sama-sama menyemarakkan Hari Kebangsaan.
Haji Mohaimin bersama anak-anaknya merasa cukup bangga melihat anak-anak tempatan memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan.
Haji Mohaimin bersama anak-anaknya merasa cukup bangga melihat anak-anak tempatan memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan.

Awang Mohaimin bin Haji Abdul Latip, 60, berbangga melihat sukarelawan terdiri daripada anak-anak muda tempatan yang memeriahkan hari bersejarah ke-32 tahun ini dan mensyukuri sambutan kemerdekaan negara yang penuh berkat, aman dan sentosa yang jarang sekali dinikmati negara lain.

Turut serta memeriahkan Hari Kebangsaan ialah Haji Junaidi Haji Sulong yang datang menyaksikannya dan merafakkan ucapan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana telah mentadbir negara ini menjadi sebuah Negara Zikir, aman dan sentosa serta kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat dan demokratik bersendikan ajaran agama Islam menurut Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

ARTIKEL YANG SAMA