Kagumi kecintaan rakyat terhadap raja

Kagumi kecintaan rakyat terhadap raja

Oleh Mohamad Asyramisyanie, Imelda Groves HA, Sim YH dan Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Selama 13 tahun berada di negara ini Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pierre Imhof tidak pernah ketinggalan untuk turun padang ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat serta Penduduk Daerah Brunei dan Muara bagi menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda, begitu juga tahun ini.

“Apa yang menarik perhatian saya dalam acara ini adalah suasana yang meriah dan penuh gilang gemilang di ibu negara ini dari awal pagi lagi dan ia menjadikan bandar Brunei ini semarak dengan semangat kecintaan akan raja yang dicintai,” ujarnya semasa ditemui wartawan Media Permata di Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien, hari ini.

Katanya, semangat perpaduan di antara warga negara ini di dalam satu majlis jelas kelihatan dan ini membuktikan keseragaman rasa sayang kepada pemimpin dan bersyukur rakyat akan pemimpin yang disanjung.

Beliau turut mengambil peluang untuk mewakili Bank Baiduri dan Persatuan Bank Brunei untuk menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas keberangkatan Baginda ke majlis itu dan mendoakan semoga Baginda akan dikurniakan kesihatan yang baik dan dilanjutkan usia.

Pirre Imhof ketika ditemu bual.
Pirre Imhof ketika ditemu bual.

 

Carey Marshall menyatakan perasaan teruja dan bersyukur kerana berpeluang melihat majlis penuh gilang gemilang itu.
Carey Marshall menyatakan perasaan teruja dan bersyukur kerana berpeluang melihat majlis penuh gilang gemilang itu.

Sementara itu, bagi Carey Marshall dari Ireland Selatan, beliau berada di negara ini tepat pada masanya setelah berpeluang menyaksikan sendiri sambutan besar-besaran 50 tahun kemerdekaan Singapura baru-baru ini.

Beliau yang bertugas di Singapura dan berada di negara ini atas urusan kerja menyatakan perasaan teruja dan bersyukur kerana berpeluang melihat malis berkenaan.

“Saya tidak menyangka akan majlis hari ini namun setelah mendapat tahu ada temasya di ibu negara hari ini dan dengan semangat yang berkobar-kobar saya bangun untuk turun ke sini bagi menyaksikan apa yang disebut-sebut oleh rakan di hotel penginapan saya,” ujarnya.

Menurutnya, Brunei sangat indah dan sunyi serta damai berbanding Singapura yang berdensiti tinggi dan padat namun kepadanya di mana pun berpijak di situlah langit dijunjung.

“Apa pun saya mengambil peluang untuk berjabat tangan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana peluang seperti ini bukan selalu ada dan kebetulan saya berada di sini, saya berazam untuk bersemuka dengan salah seorang pemimpin yang dikenali dunia ini,” tambah beliau.

Sekumpulan pekerja domestik warga Filipina yang pertama kali menyaksikan majlis itu
Sekumpulan pekerja domestik warga Filipina yang pertama kali menyaksikan majlis itu

Sekumpulan pekerja domestik berbangsa Filipina turut meluahkan perasaan teruja dengan majlis berkenaan kerana inilah kali pertama mereka berpeluang untuk menyaksikan sendiri acara gilang gemilang Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia meskipun telah bekerja di negara ini di antara tiga dan 21 tahun dalam kalangan mereka.

“Kami sangat berbesar hari untuk menyaksikan majlis hari ini dan mengucapkan syabas kepada seluruh peserta persembahan hari ini,” ujar mereka.

ARTIKEL YANG SAMA