Kagumi produk 1K1P, perkembangan Islam di sini

Kagumi produk 1K1P, perkembangan Islam di sini

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 15 Ogos – Dengan mempamerkan Galeri 1K1P kepada pelancong-pelancong luar negara, Daerah Tutong juga mampu menarik perhatian warga asing atau pengunjung dari luar negara untuk membeli produk-produk dari majlis perundingan mukim dan kampung Daerah Tutong dan seterusnya dapat mempromosikan produk berkenaan ke luar negara.

Ini sekaligus dapat meningkatkan lagi kegiatan ekonomi di daerah berkenaan di samping mengenalkan produk tersebut kepada orang ramai.

Ketua rombongan dari Institut Rajapark, Yala Campus, Thailand berserta Presiden dan Ahli Parlimen Pertubuhan Pentadbiran Wilayah Thailand iaitu Pengarah Institut Rajapark, Yala Campus, Thailand, Penolong Profesor Kasem Benchawong ketika ditemu bual berasa amat kagum dengan produk-produk dari 1K1P Daerah Tutong tersebut selepas membuat lawatan ke galeri berkenaan.

Daripada lawatan tersebut, beliau menjelaskan bahawa produk tersebut Insha Allah akan dibawa ke Thailand untuk digunakan dan seterusnya diperkenalkan kepada masyarakat Selatan Thailand terutama ahli keluarga dan kawan-kawan rapatnya.

Di samping ingin mengenali budaya masyarakat Negara Brunei Darussalam, beliau amat terharu dan kagum setelah menyaksikan tayangan video Persatuan Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA) melalui Program Sumbang dan Bantu.

Penolong Profesor Kasem Benchawong (tengah) selaku Ketua rombongan Institut Rajapark, Yala Campus, Thailand berserta Presiden dan Ahli Parlimen Pertubuhan Pentadbiran Wilayah Thailand.
Penolong Profesor Kasem Benchawong (tengah) selaku Ketua rombongan Institut Rajapark, Yala Campus, Thailand berserta Presiden dan Ahli Parlimen Pertubuhan Pentadbiran Wilayah Thailand.

Menurutnya, walaupun ahli-ahli SUKA tidaklah seramai ahli sukarelawan di Thailand, namun aktiviti-aktiviti SUKA adalah amat menarik terutama bagi membantu orang-orang yang kurang bernasib baik.

Aktiviti kemasyarakatan yang ditampilkan di Daerah Tutong ini perlu menjadi contoh buat masyarakat Selatan Thailand khususnya ahli-ahli sukarelawan di sana agar dapat dijadikan iktibar dan ikutan generasi Thailand yang akan datang dalam membantu mangsa-mangsa yang kurang bernasib baik.

Kedatangan beliau bersama ahli rombongan ke negara ini adalah semata-mata untuk mengenali lebih dekat Negara Brunei Darussalam terutama dari segi budaya, melawat ke institusi-institusi keislaman seperti masjid-masjid, Jabatan Mufti dan melawat ke tempat-tempat yang menarik seperti di Kampong Ayer, Muzium dan Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja.

Menurutnya lagi, memandang Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Islam, lawatan ini akan dapat mereka saksikan dengan lebih dekat budayabudaya Islam yang sering diamalkan oleh masyarakat Brunei.

Di samping itu, melalui lawatan ini, mereka berharap akan dapat bekerjasama dengan Brunei dalam menjalankan aktiviti keagamaan yang mana hampir 80 peratus penduduk Selatan Thailand adalah beragama Islam.

ARTIKEL YANG SAMA