KAIA terima 1.7 juta jemaah umrah

KAIA terima 1.7 juta jemaah umrah

JEDDAH, 14 Mac (Agensi) – Bilangan jemaah umrah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz (KAIA) di Jeddah sejak bermulanya musim umrah dari pertengahan bulan Safar hingga hari ini, adalah seramai 1.7 juta.

Pengarah perhubungan awam dan maklumat di lapangan terbang itu, Turki Al-Deeb, dipetik sebagai berkata dalam media tempatan bahawa jemaah umrah tiba di kerajaan itu dalam 13,046 penerbangan berlainan.

Menurutnya pihak berkuasa lapangan terbang telah merekrut sekitar 7,000 pekerja yang mewakili 27 agensi kerajaan dan swasta bagi membantu memproses dokumen jemaah.

“Mereka melaksanakan tanggungjawab mereka setiap masa untuk menyediakan perkhidmatan yang diperlukan bagi para jemaah,” tambahnya, mengatakan bahawa pada tempoh yang sama lapangan terbang itu turut menyaksikan keberangkatan pulang seramai 1.16 juta jemaah umrah ke negara asal mereka dalam 6,542 penerbangan.

Kompleks umrah dan haji di lapangan terbang Jeddah turut menempatkan 14 ruang istirahat ketibaan dan berlepas yang diperuntukkan secara eksklusif bagi perkhidmatan jemaah.

Lapangan terbang itu termasuk 26 lot letak pesawat dengan 10 penghubung bergerak, dua pusat operasi, satu menara kawalan, 18 portal perjalanan dan 14 ruang istirahat bagi jemaah, dengan tambahan kepada 143 kaunter penyambut tetamu (resepsi) bagi pasport, 12 kaunter resepsi bagi jawatankuasa pengiraan Kementerian Haji dan 224 kaunter resepsi pejabat ejen-ejen perjalanan.

Memiliki tali sawat tuntutan bagasi sepanjang 1,180 meter, lapangan itu juga memiliki dua ruang istirahat bagi para penumpang kelas pertama, bersama ruang VIP, sebuah hotel dengan 123 bilik, beberapa buah restoran dan kawasan perniagaan seluas 9,000 meter persegi.

ARTIKEL YANG SAMA