KAIB ke-9 ketengahkan isu halal dan dakwah di Borneo

KAIB ke-9 ketengahkan isu halal dan dakwah di Borneo

BANJARMASIN, INDONESIA – Mantan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman selaku pembentang jemputan khas dalam ucaptama berkata bahawa perkara halal dan haram ini terutama dalam pemakanan bukan perkara baru, ianya telah diajarkan oleh para ulama dan pendakwah sejak zaman berzaman.

“Umat Islam perlu memakan yang halal dan menjauhi yang haram. Maka tugas umat Islam bukanlah baru hendak mengajar atau baru hendak mengenalkan yang mana halal yang mana haram, tetapi adalah hendaklah memastikan ‘kelestarian’ yakni supaya umat Islam di kepulauan Borneo ini terus berpegang kepada kebiasaan yang telah mereka alami turun temurun,” ujar beliau pada Konferensi Antarabangsa Islam Borneo (KAIB) ke-9 yang berlangsung di Hotel Rattan Inn, Banjarmasin.

Beliau juga menjelaskan bahawa, “Brunei telah berjalan di atas landasan Islam dengan menguatkan pendidikan agama, dakwah, pemakanan halal, undang-undang jenayah syariah, pentabiran, pembangunan masjid, zakat, haji, ketenteraan, kewangan Islam dan sebagainya.

“Brunei juga mengamalkan Falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), dan melaksanakan cita-cita dan usaha ke arah menjadikan negara ini sebagai sebuah Negara Zikir. Makna Negara Zikir ialah negara yang berpandukan ajaran Islam dan sentiasa mengingati Allah Taala dalam segala aspeknya,” tambahnya.

Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad ketika menyampaikan ucaptama.
Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad ketika menyampaikan ucaptama.
Para pembentang kertas kerja dari UNISSA bersama rektor UiTM Sarawak.
Para pembentang kertas kerja dari UNISSA bersama rektor UiTM Sarawak.

Konferensi yang berlangsung selama dua hari iaitu bermula 6 hingga 7 September 2016 merupakan anjuran bersama Universitas Lambung Mangkurat (ULM), Banjarmasin, Kalimantan Selatan, Indonesia; Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak; Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah; Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), dan Universitas Mulawarman (UNMUL), Samarinda, Kalimantan Timur, Indonesia. Seminar KAIB ke-9 ini membawa tema ‘Melestari Halal dan Memperkasa Dakwah di Borneo’.

Selaku penganjur bersama, UNISSA telah diketuai oleh Penolong Rektor, Dr. Arman bin Haji Asmad, dan KUPU SB pula diketuai oleh Pemangku Timbalan Raes, Dr. Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha, bersama beberapa orang ahli akademik telah menghadiri dan seterusnya membentangkan kertas kerja pada seminar itu.

Pembentang kertas kerja dari KUPU SB.
Pembentang kertas kerja dari KUPU SB.

Sebanyak 76 kertas kerja telah berjaya dibentangkan dalam seminar itu dan melibatkan para pembentang daripada institusi-institusi pengajian tinggi di persekitaran Borneo serta ucaptama dari timbalan ketua menteri Sarawak, mufti Negeri Sarawak dan mufti Negeri Sabah.

Di antara objektif seminar itu adalah untuk mengumpulkan bahan atau karya ilmiah yang berkaitan dengan perkara halal dan dakwah di Borneo agar ianya dijadikan sebagai bahan rujukan pada masa hadapan. Selain itu juga seminar ini dapat menyediakan wadah perbincangan tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan halal dan dakwah serta isu-isu agama Islam di Borneo.

Seminar ini akhirnya telah membuat kesimpulan bahawa Borneo adalah tempat untuk mengeratkan persaudaraan Islam (Ukhuwwah Islamiyyah), memperkasakan pendidikan Islam dan memartabatkan bidang ekonomi umat Islam. Jawatankuasa tertinggi juga telah bersetuju untuk mengadakan KAIB ke-10 pada tahun 2017 di Universitas Mulawarman, Kalimantan Timur, Indonesia.

ARTIKEL YANG SAMA