KAIB VIII buka tirai

KAIB VIII buka tirai

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Konferensi Antarabangsa Islam Borneo ke-8 (KAIB VIII) membuka tirainya, hari ini, di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dengan menampilkan pembentangan kira-kira 130 kertas kerja oleh pembentang dari dalam dan luar negara.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, berkenan berangkat menyempurnakan perasmian persidangan dua hari berkenaan.

Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman.

Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dalam sembah alu-aluannya berkata usaha pelestarian dakwah dan tamadun Islam di Borneo merupakan dasar dan strategi yang signifikan dan sejajar dengan cara hidup masyarakat Borneo yang mengamalkan sikap toleransi dan saling hormat-menghormati antara satu dengan lain.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menerima pesambah.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menerima pesambah.
Antara yang hadir ke majlis itu.
Antara yang hadir ke majlis itu.

Ini pasti akan mencetuskan keamanan dan keharmonian untuk dinikmati oleh masyarakat pada hari ini dan hari yang mendatang.

Kriteria tamadun Islam, sembah beliau lagi, tidak syak lagi amat sesuai menghiasi dan menyerikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah ‘Negara Zikir’ dan ini bertepatan dengan tema persidangan iaitu ‘Melestarikan Dakwah dan Tamadun Islam di Borneo’ yang menjadi platform perkongsian ilmu ahli-ahli akademik dari pelbagai institusi untuk bertukar idea dan hasil kajian masing-masing.

Menurut beliau, dalam KAIB ke-8 ini kira-kira 130 kertas kerja akan dibentangkan yang turut termasuk satu kertas kerja perdana dan enam kertas utama oleh tokoh-tokoh agama dan ilmuan di Kepulauan Borneo dan serantau dalam sesi pembentangan selari.

Beliau seterusnya menyuarakan harapan agar, ilmu dan pengisian yang bercambah dari konferensi ini dapat dimanfaatkan khususnya untuk meningkatkan dan memantapkan dakwah serta membangun dan memajukan tamadun Islam di seluruh Borneo.

Penganjuran persidangan ini, sembahnya, tetap relevan dan akan terus dilaksanakan pada masa akan datang bagi menjamin kelangsungan perkongsian ilmu dan percambahan idea bernas ke arah mengembangkan pengaruh Islam dalam kalangan masyarakat Borneo sebagaimana yang sewajarnya.

Kekuatan serumpun adalah diharapkan sebagai pemangkin kepada jalinan usaha sama antara ahli akademik yang berlainan latar belakang dan kepakaran ilmu dan seterusnya mencari ruang serta menerokai peluang bagi menyatukan masyarakat dan ummah, tambah beliau.

Konferensi ini dianjurkan bersama UNISSA, Pusat Dakwah Islamiah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah.

ARTIKEL YANG SAMA