Kaiduan tetap pilihan terbaik projek

Kaiduan tetap pilihan terbaik projek

KOTA KINABALU, 23 Nov (Bernama) – Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata pembinaan Empangan Kaiduan masih pilihan terbaik bagi sumber bekalan air mentah dalam pelaksanaan Projek Skim Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa 3 bagi memenuhi keperluan bekalan air bersih sehingga tahun 2050.

Beliau berkata Jemaah Menteri Sabah melalui Kajian Kemungkinan pada 2009 dan 2011 membuat keputusan agar Kaiduan sebagai lokasi empangan diteruskan setelah mengambil kira beberapa alernatif sumber air lain serta kos yang terlibat. Katanya selain pertimbangan terhadap alterntif berkenaan, keputusan Jemaah Menteri Sabah berkenaan juga dibuat dengan syarat kajian Penilaian Khas Kesan Alam Sekitar (SEIA) selari dengan kajian kemungkinan dijalankan dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Selain daripada SEIA, Jawatankuasa Pemandu Projek Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa 3-Empangan Kaiduan telah memutuskan pada bulan Mei 2015 agar kajian

Penilaian Kesan Sosial (SIA) perlu dijalankan untuk mengutamakan penduduk yang terjejas sekiranya projek ini dilaksanakan kelak.

“Bagaimanapun, kajian SEIA dan SIA ini belum dapat dijalankan secara terperinci disebabkan oleh beberapa kekangan terutama halangan dan bantahan penduduk yang disokong oleh beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO). Pada masa ini, pihak Jabatan Air Negeri Sabah sedang menyelaras kajian SIA dapat dijalankan bagi projek ini,” katanya.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata demikian ketika menjawab soalan Terence Siambun (PKR-Moyog) pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Menurut Pairin tujuh alternatif sumber air untuk memenuhi keperluan bekalan air jangka panjang sehingga tahun 2050 yang telah dipertimbangkan kerajaan sebelum memutuskan mengekalkan Kaiduan termasuk pengambilan terus air dari sungai untuk loji rawatan yang baharu.

Bagaimanapun alternatif ini tidak sesuai kerana jumlah isi padu air yang dapat diekstrak adalah terhad dan tidak konsisten manakala kaedah ‘loji penyahmasinan’ pula akan melibatkan kos modal yang mahal, kos operasi serta penyelenggaraan berterusan yang tinggi dan tidak mesra alam.