Kain rentang She Runs didedah

Kain rentang She Runs didedah

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh James Kon

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Kain rentang Start/Finish rasmi untuk acara She Runs 2016 telah didedahkan kepada orang ramai di Dewan Serba guna Fitness Zone, Kiulap, hari ini.

Hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Urusan Fitness Zone, Wu Chun dan juga Pengarah Urusan D’Sunlit, Jackson Ting.

She Runs 2016 akan diadakan pada 15 Mei ini untuk Kelab Semua Wanita (All Women’s Club), di mana hampir 2,000 orang akan menyertai larian 3.7km dan 5km termasuk pelari dari 16 buah negara.

Dalam kenyataannya, Wu Chun telah menjelaskan Fitness Zone telah bekerja rapat dengan D’Sunlit sejak pertama kali acara itu diadakan.

“Kami benar-benar gembira kerana D’Sunlit amat bermurah hati menaja acara amal ini. Tajaan mereka untuk percetakan semua bahan promosi amat kami hargai kerana sumbangan mereka akan membuat perubahan kepada kehidupan mereka yang memerlukan,” kata Wu Chun.

Wu Chun (dua, kiri) dan Jackson Ting (dua kanan) ketika majlis penyerahan kain rentang rasmi She Runs 2016.
Wu Chun (dua, kiri) dan Jackson Ting (dua kanan) ketika majlis penyerahan kain rentang rasmi She Runs 2016.
Sebahagian daripada para peserta mengambil kit She Runs 2016.
Sebahagian daripada para peserta mengambil kit She Runs 2016.

Dalam persiapan untuk acara yang akan berlangsung dalam lima hari sahaja lagi, Wu Chun menekankan mesej yang penting kepada para peserta yang mengikuti She Runs 2016.

“Walaupun ini larian ‘fun run’, terutama sekali jika anda menyertainya buat kali pertama dan berasa seperti hendak berputus asa, anda perlu ingat, bukan kelajuan yang penting tetapi mencapai matlamat anda. Untuk ke sana. Untuk selesai dengan tujuan!”

Sementara itu, Pembantu Eksekutif dan Acara, Shelley Busque dalam kenyataan akhbar berkata, pengambilan kit She Runs 2016 telah bermula hari ini hingga 13 Mei.

“Kami telah memutuskan untuk mengubah waktu 3 petang hingga 9 malam yang ditetapkan sebelumnya lebih awal iaitu bermula jam 12 tengah hari hingga 9 malam dari Selasa hingga Khamis dan Jumaat pula dari jam 2 petang hingga 9 malam supaya para peserta lebih mudah mengambil kit mereka,” kata Shelley.

Pada hari acara ini berlangsung nanti, promosi istimewa menunggu peserta yang mendaftar atau memperbaharui keahlian mereka dan para pelari dinasihatkan untuk membawa resit bersama semasa pengambilan kit kerana 200 peserta pertama akan layak menerima cenderahati daripada The Body Shop.

ARTIKEL YANG SAMA