Kain tenunan amat berpotensi

Kain tenunan amat berpotensi

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Nov – Kepelbagaian penggunaan kain tenunan di negara ini menunjukkan potensi perusahaan dan jika ia diusahakan dengan teratur dan bersistem akan menjanjikan pulangan yang amat menguntungkan.

Sehubungan itu, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof menyeru para pengusaha kain tenunan untuk lebih berani tampil ke hadapan membuat pembaharuan supaya produk yang dihasilkan tidak statik tapi terus berkembang selaras dengan peredaran masa dan zaman tanpa mengurangkan atau menurunkan kualiti dan identiti aslinya.

“Kita perlu kreatif dan inovatif dalam menghasilkan produk bermutu tinggi yang dapat memenuhi kehendak atau dapat memasuki pasaran dunia luar dan ini merangkumi pelbagai corak dan warna tapi mempunyai kualiti buatan bermutu tinggi,” tegasnya semasa berucap pada Majlis Perasmian Pameran Wastra Borneo yang berlangsung di Muzium Teknologi Brunei, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Kurator Ilmu Kejadian di Jabatan Muzium-muzium, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Omar Ali dan Pegawai Tugas-tugas Khas di Jabatan Muzium-muzium, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Qudduus.

Yang Berhormat Pehin menyaksikan demonstrasi menenun kain pua kumbu di Pameran Wastra Borneo, yang kini sedang berlangsung di Muzium Teknologi Brunei sehingga 31 Januari 2016.
Yang Berhormat Pehin menyaksikan demonstrasi menenun kain pua kumbu di Pameran Wastra Borneo, yang kini sedang berlangsung di Muzium Teknologi Brunei sehingga 31 Januari 2016.

Yang Berhormat Pehin seterusnya mengingatkan para pengusaha untuk lebih kreatif mempelbagaikan penggunaan kain tenunan Brunei kepada produk hiliran, dalam erti kata lain bukan saja bergantung sepenuhnya bagi kegunaan pakaian semata-mata.

Dengan cara ini, ujar beliau, kain tenunan Brunei dapat menembusi pasaran luar, bersaing dengan kain tenunan dari negara pengeluar atau pengedar yang lain.

Menyentuh mengenai pameran yang akan berlangsung 31 Januari 2016 itu, beliau berkata, ia dapat memperkenalkan tekstil Borneo kepada orang ramai termasuk pelancong dari negara luar di mana pada masa ini, tekstil merupakan satu perusahaan yang sangat penting dalam memberikan peluang pekerjaan seterusnya dapat menjana pendapatan dan ekonomi sesebuah negara.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, pameran bertema Warna Warni Warisan Borneo ini juga adalah bersempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Penubuhan Jabatan Muzium-Muzium Brunei yang secara rasmi ditubuhkan pada tahun 1965.

ARTIKEL YANG SAMA