Kaji fenomena ‘penghijrahan cendekiawan’

Kaji fenomena ‘penghijrahan cendekiawan’

KOTA KINABALU, 5 Okt (Bernama) – Kementerian Kesihatan sedang berusaha mengkaji tempoh kontrak perkhidmatan doktor pakar dengan kementerian kesihatan bagi mengatasi fenomena ‘penghijrahan cendekiawan’ doktor pakar daripada hospital awam ke sektor swasta.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata fenomena ‘penghijrahan cendekiawan’ berkenaan menyebabkan hospital awam terus dibelenggu dengan masalah kekurangan doktor pakar.

“Kita ada usaha kaji semula perjanjian ini. Kita anggap keluarnya mereka (doktor pakar) daripada perkhidmatan kerajaan sebagai ‘penghijrahan cendekiawan’.

Penghijrahan cendekiawan ini bukan dialami oleh Malaysia sahaja tetapi seluruh negara kecuali Kuwait. Mungkin ada cara dia (Kuwait).

Kita sedang bandingkan (tempoh kontrak perkhidmatan doktor pakar negara ini dengan negara lain tetapi kecenderungan kita adalah untuk tambah tempoh kontrak perkhidmatan (doktor pakar dengan hospital kerajaan),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Zon Sabah dan Sarawak di sini. Sejumlah 3,249 graduan telah dan akan menerima sijil dan diploma masing-masing dalam pelbagai bidang sepanjang tempoh tiga hari majlis konvokesyen berkenaan yang bermula hari ini.

Menurut Dr Hilmi bilangan doktor pakar yang telah dilatih oleh kerajaan kemudian meninggalkan perkhidmatan mereka dengan kerajaan adalah besar, termasuk dalam pakar jantung dan pakar bius kerana menerima tawaran gaji dan ganjaran menarik daripada sektor swasta.

Katanya berdasarkan maklumat yang diterima ada doktor-doktor pakar ini ditawarkan gaji di sektor swasta sehingga 10 kali lebih tinggi berbanding dengan gaji mereka dengan kerajaan. Menurut Dr Hilmi tempoh kontrak perkhidmatan doktor pakar dengan kerajaan biasanya antara lima hingga tujuh tahun namun disebabkan tawaran menarik swasta, banyak doktor pakar kerajaan sanggup membayar balik kontrak antara RM150,000 hingga RM170,000 bergantung kepada kos yang dibelanjakan kerajaan melatih mereka.