Kaji kesan jangka panjang gempa bumi, banjir kilat

Kaji kesan jangka panjang gempa bumi, banjir kilat

KOTA KINABALU, 2 Dis (Bernama) – Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata terdapat keperluan untuk mengkaji kesan jangka panjang gempa bumi di Ranau dan banjir kilat di Kota Belud bagi mengelakkan krisis besar daripada berlaku pada masa hadapan.

Selain daripada itu, beliau berkata kekurangan bekalan air di Ranau dan Kota Belud juga boleh menjejaskan kehidupan di kedua-dua daerah terutamanya pertanian di Kota Belud.

“Kita mungkin berhadapan dengan krisis di masa hadapan jika kita tidak berhati-hati,” katanya semasa merasmikan seminar dan bengkel bencana alam selama dua hari, Membina Kod Ramalan Gempa Bumi dan Analisis Trend, di sini malam tadi.

Seminar itu yang merupakan susulan daripada dialog awal pada 2013 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Institut Geologi Malaysia dengan kerjasama Universiti Kao Yuan, Taiwan.

Sejumlah 137 pakar dan peserta dari Malaysia, Taiwan, Singapura dan Indonesia berhimpun di seminar yang berlangsung di UMS untuk bertukar teknologi dan pengetahuan dalam penyelidikan bencana alam.

Menurut Masidi kerajaan negeri telah membuat keputusan bahawa kesemua bangunan dan perancangan pembangunan akan datang berhampiran kawasan yang berpotensi untuk berlaku gempa bumi perlu mengambil kira kesan bencana itu.