Kaji selidik gangguan seksual

Kaji selidik gangguan seksual

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Persatuan Siswazah Wanita (PSW) akan membuat kaji selidik dalam talian mengenai gangguan seksual di tempat kerja bagi golongan wanita bermula hari ini sehingga 8 April depan.

Kaji selidik ini dibukakan kepada wanita yang sedang atau pernah bekerja dalam sektor kerajaan atau swasta yang diungkayahkan untuk mengenal pasti permasalahan wanita mengenai hal berkenaan di tempat kerja dan juga untuk mengetahui sejauh atau sekerap mana ia terjadi.

Menurut kenyataan PSW di sini, mangsa-mangsa yang mengalami gangguan selalunya tidak berani menyuarakan apa yang terjadi atau tidak tahu bagaimana dan ke mana untuk melaporkannya. Melalui kaji selidik ini, respons-respons akan dianalisis dan seterusnya kajian ini akan melihat adakah terdapat mekanisme yang berkesan dan sistematik untuk menangani aduan atau permasalahan yang dihadapi mangsa-mangsa gangguan seksual ini.

Di samping itu, ia juga diadakan bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang diraikan setiap 8 Mac setiap tahun.

Borang-borang kaji selidik akan disebarkan melalui perhubungan elektronik dan media sosial atau melalui pautan http://goo.gl/forms/iVWa25ytbJ.

Pihak PSW berharap para wanita yang menerima borang kaji selidik akan dapat memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memberikan maklumat yang tepat supaya dapat membantu PSW mengumpul maklumat yang diperlukan.

ARTIKEL YANG SAMA