Kaji selidik ICT AITI berakhir

Kaji selidik ICT AITI berakhir

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 April – Kaji Selidik Penggunaan ICT dalam Isi Rumah secara online Brunei Darussalam 2016 yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) dengan kerjasama BigBreak Solutions Sdn Bhd (BBS) sejak 1 Februari 2016 telah pun berakhir pada 28 Mac 2016 lalu.

Manakala itu, hari ini, penyampaian hadiah kepada tiga orang pemenang cabutan bertuah yang menyertai kaji selidik berkenaan telah diadakan di pejabat AITI.

Hadiah utama telah dimenangi oleh Awang Mohammad Daniel Faiz bin Haji Mohammed Sabli, tempat kedua Awang Hadi Haswandy bin Osmidi dan Awang Abdul Halim bin Abdul Rahman memenangi hadiah ketiga.

Menurut kenyataan AITI, ini merupakan kaji selidik ketiga yang dilaksanakannya sejak ia dimulakan pada 2010. Maklumat daripada kaji selidik berkenaan akan digunakan untuk memahami bagaimana ICT merubah ekonomi dan masyarakat Brunei, serta akan menyediakan data mengenai asas petunjuk situasi ICT dalam isi rumah, trendnya berbanding laporan-laporan dan pengguna tahun sebelumnya.

Borang soal selidik untuk kaji selidik berkenaan disediakan secara online dan dicetak bagi memaksimumkan jumlah responden supaya mempunyai gambar yang lebih baik mengenai indeks pembangunan ICT di Brunei Darussalam.

Saiz sampel untuk kaji selidik berkenaan telah meningkat kepada 25 peratus, dengan lebih 10,000 responden berbanding kaji selidik yang dijalankan pada tahun-tahun sebelumnya.

ARTIKEL YANG SAMA