Kaji semula isu tanah

Kaji semula isu tanah

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Bahyiah Bakir

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mei – Mesyuarat ke-4 bagi Kumpulan Pakar Teknikal ASEAN mengenai Pengurusan Tanah dan Nutrien (SNM) yang berlangsung di Bilik Permai, Ibu Pejabat Jabatan Pertanian dan Agrimakanan bertujuan untuk mengkaji semula draf ketiga garis panduan yang merangkumi isu-isu tanah di ASEAN, amalan pengurusan tanah dan nutrien yang baik.

Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin menjelaskan, Garis panduan ASEAN mengenai pengurusan tanah dan nutrien juga bertujuan untuk memberi penekanan terhadap kepentingan pengurusan tanah dan nutrien dalam mencapai pertanian lestari.

Di samping itu, memberi panduan yang membantu pembuat keputusan untuk merumuskan dasar-dasar yang menggalakkan pertanian mapan, pengeluaran tanaman dan kesuburan tanah, dan menyelaraskan cadangan bagi menambah baik pengurusan tanah dan nutrien di rantau ini.

Amalan pengurusan tanah yang baik, standard peraturan dan maklumat pasaran baja dan nutrien tambahan, adalah antara yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan, yang mana cadangan untuk pengurusan tanah dan nutrien, pencemaran tanah dan isu-isu lain juga dikaji semula dan dibincangkan.

Beliau juga menekankan tentang keperluan untuk bekerjasama dengan kalangan anggota negara-negara ASEAN bagi mewujudkan satu kumpulan kerja serantau dalam membangunkan satu set cadangan kepada pengurusan khasiat tanah-tanah tanaman bagi rantau ini.

Dr. Haji Abdul Manaf bergambar ramai bersama para delegasi ASEAN dan pegawai jabatan berkenaan.
Dr. Haji Abdul Manaf bergambar ramai bersama para delegasi ASEAN dan pegawai jabatan berkenaan.

“Adalah dijangka bahawa garis panduan ASEAN mengenai Pengurusan Tanah dan Nutrien akan menyediakan dan diselaraskan di rantau ini bagi memudahkan pembuat keputusan dalam penggubalan cadangan dasar kepada pengurusan dan khasiat tanah, yang akan menggalakkan sistem makanan pertanian yang mapan dirantau ini,” tambah Dr. Haji Abdul Manaf semasa menyampaikan ucapan pada pembukaan mesyuarat berkenaan, hari ini.

Beliau seterusnya berkata, mesyuarat dua hari itu akan menghasilkan draf garis panduan standard mengenai pengurusan tanah dan nutrien berdasarkan perbincangan, perkongsian pengalaman dan maklumat mengenai pengurusan nutrien tanah dalam menggalakkan sistem agrimakanan yang mampan di rantau ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, garis panduan ini disediakan untuk memudahkan negara-negara anggota ASEAN menerima pakai amalan pengurusan tanah dan nutrien yang mampan dalam aktiviti pertanian mereka, bersama-sama dengan langkah saling melengkapi yang lain untuk mengekalkan dan meningkatkan produktiviti tanaman, di samping mengukuhkan kapasiti produktif tanah melalui penggunaan tanah yang lestari bagi pengeluaran pertanian.

Mesyuarat yang dirasmikan oleh Dr. Haji Abdul Manaf itu dihadiri oleh pakar-pakar dari negara-negara anggota ASEAN, dan Penyelaras Serantau, German International Cooperation bagi projek ASEAN Sustaninable Agrifood Systems (ASEAN-SAS), Bangkok, Thailand, Wanipa Soda, selaku fasilitator kumpulan teknikal yang juga menyaksikan mesyuarat berkenaan.