Kaji semula kemudahan bagi warga tua

Kaji semula kemudahan bagi warga tua

KOTA KINABALU, 8 Sept – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman meminta semua pihak berkaitan untuk mengkaji semula kemudahan awam dan perkhidmatan bagi memenuhi kehendak dan keperluan warga tua.

Musa berkata langkah itu penting seiring dengan peningkatan jumlah warga tua di negara ini.Katanya kemudahan awam dan perkhidmatan seperti tandas, tempat makan, rumah ibadat serta program dan peluang pekerjaan, kemahiran, pengetahuan dan teknologi perlu selamat dan selesa untuk warga tua.

“Kemudahan, perkhidmatan dan peluang yang ada harus sensitif kepada gender dan boleh diterima warga tua. Kemudahan dan perkhidmatan yang selamat, selesa dan mudah diakses akan membantu warga tua bersosial dalam suasana yang sihat dan selamat.

“Keadaan ini juga boleh menggalakkan mereka menyumbang kepada masyarakat,” kata Musa dalam ucapannya ketika merasmikan ‘Seminar Gender’ anjuran bersama Institut Kajian Pembangunan (IDS) dan Konrad Adenauer Stiftung, di sini hari ini.

Teks ucapan Musa dibacakan Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Teo Chee Kang.

Menurut Musa, selain mengkaji semula kemudahan dan perkhidmatan untuk warga tua, isu lain membabitkan mereka seperti kewangan, kesihatan, keluarga serta hubungan sosial dan teknologi juga wajar diberi perhatian.

Ketua menteri itu berkata terdapat kes warga tua yang terpaksa bergantung sepenuhnya kepada sahabat dan jiran kerana penyakit, masalah kewangan dan

kemiskinan.Katanya walaupun ada bantuan daripada kerajaan, ia tetap tidak mencukupi untuk memenuhi semua keperluan mereka.

“Persaraan adalah masa berehat tetapi untuk berdepan masalah kewangan pasti akan meningkatkan tekanan sehingga mereka tidak dapat berehat. Di Malaysia, kekurangan simpanan persaraan menjadi kebimbangan,” katanya. – Bernama