Kaji tarik balik kekebalan presiden

Kaji tarik balik kekebalan presiden

BANDAR GUATEMALA, 11 Jun (AFP) – Mahkamah Agung Guatemala semalam berkata Kongres akan memutuskan sama ada untuk menarik balik kekebalan Presiden Otto Perez daripada pendakwaan untuk berdepan penyiasatan berhubung skandal rasuah yang menjejaskan kerajaannya.

Mahkamah Agung menerima usul anggota pembangkang Amilcar Pop untuk menarik balik kekebalan Perez, menyalurkannya kepada Kongres untuk memeriksa jika terdapat asas untuk berbuat demikian.

Jika diluluskan, petisyen itu bakal menjadi insiden yang tidak pernah berlaku dalam sejarah moden negara Amerika Tengah tersebut. Parti Patriot pimpinan Perez tidak mempunyai majoriti dalam Kongres.

Para pembantah berdemonstrasi di bandar Guatemala menggesa Perez supaya meletak jawatan berhubung dakwaan rasuah yang menggegarkan Kabinetnya sejak enam minggu lepas. Namun Perez sendiri masih belum dikenakan sebarang dakwaan salah laku.