Kajian projek tebatan banjir dibentang tidak lama lagi

Kajian projek tebatan banjir dibentang tidak lama lagi

KUCHING, 4 April (Bernama) – Kajian semula projek tebatan banjir merangkumi pembinaan sebuah terusan di bandar raya ini, telah siap dan akan dibentangkan kepada kerajaan negeri Sarawak dalam masa terdekat.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kajian yang dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu kemudiannya akan dinilai dan dikemukakan kepada perdana menteri dan seterusnya kepada Jawatankuasa Ekonomi Negara untuk dilaksanakan.

Beliau berkata kajian itu turut dibantu pakar dari Belanda bagi mendapatkan nasihat teknikal agar projek tersebut dapat dilaksanakan secepat mungkin dengan kos yang rendah dan mereka akan memberikan taklimat mengenai hasil kajian mereka kepada kerajaan negeri Sarawak tidak lama lagi.

“Ini antara usaha kami dalam menyiapkan projek tersebut bagi memastikan bandar raya ini dan kawasan cenderung banjir berhampiran, bebas daripada bencana banjir,” katanya kepada Bernama di sini.

Antara cadangan pihak kementerian sebelum ini adalah pembinaan terusan sepanjang enam kilometer dengan lebar 250m dibina di pinggir bandar raya, di samping pembinaan dua lagi jambatan yang hampir 400m panjang, sebuah baraj dan pintu kawalan bagi mengawal gelombang pasang surut.

Projek itu dilihat boleh membantu mengawal air agar tidak masuk ke bandar raya Kuching selain tidak melimpah ke pekan-pekan lain di kawasan hulu Sungai Sarawak Kanan.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata faktor tidak melimpah ke kawasan itu juga turut dimasukkan dalam kajian tersebut bagi menyelamatkan Kuching daripada banjir dan tidak mahu peristiwa lama berulang.

Anggota Parlimen Santubong itu berkata projek berkenaan dirancang pada 2009 dengan kos asal RM1.6 bilion dan kini mencecah RM1.85 bilion selepas dinilai semula.

Tanpa memberikan tempoh bila projek tersebut siap sepenuhnya, Wan Junaidi berkata projek itu memakan masa dan melibatkan pelbagai proses termasuk tender dan penilaian teknikal.