Kakitangan kerajaan terlibat dadah

Kakitangan kerajaan terlibat dadah

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 8 Dis – Meskipun pernah dicekup anggota polis tahun lepas kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah, seorang kakitangan kerajaan tidak pernah serik apabila ditahan atas kesalahan sama pagi semalam.

Paling mengejutkan suspek, 30, berasal dari Kampung Medait dikatakan terjebak dalam penyalahgunaan dadah sejak 10 tahun lepas.

Akibatnya suspek ditahan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Limbang sekitar jam 10 pagi semalam di pejabat BSJND sebelum saringan awal ujian air kencing dilakukan ke atasnya.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata hasil ujian saringan awal yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis Amp.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati suspek bekerja di sebuah jabatan kerajaan di sini sejak tujuh tahun lalu.

“Suspek dipercayai mengambil dadah jenis syabu dengan cara menghidu asap syabu yang dibakar di atas kertas timah menggunakan api yang kecil. “Suspek juga disyaki terlibat dengan dadah jenis syabu sejak tahun 2005,”katanya di sini semalam.

Difahamkan kali terakhir suspek mengambil dadah terbabit pada Ahad lepas.

Suspek juga tidak serik kerana pernah diberkas tahun lepas atas kesalahan sama dan dikenakan hukuman melakukan kerja amal selama tiga bulan.