Kakitangan SCB bersihkan Kampong Ayer

Kakitangan SCB bersihkan Kampong Ayer

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Sept – Sekumpulan lebih 20 orang kakitangan Bank Standard Chartered (SCB) telah bergotong-royong membersihkan kawasan Kampong Ayer, berdekatan Kampung Sungai Besar pagi tadi.

Aktiviti kesukarelawanan berkenaan dianjurkan oleh jawatankuasa Kelab Rekreasi SCB dan diketuai oleh Pengerusi Kelab, Awang Muhammad Red Abdullah Ong.

Menurut kenyataan SCB, aktiviti berkenaan turut melibatkan kerja-sama Green Brunei yang mana sukarelawan-sukarelawannya turut menyertai aktiviti pembersihan berkenaan yang mengambil masa lebih dua jam.

Awang Muhammad Red, dipetik sebagai berkata, “Saya gembira Standard Chartered menggalakkan kami sebagai kakitangan untuk memberi balik kepada komuniti menerusi aktiviti-aktiviti kesukarelawanan seperti ini.

Sukarelawan bergambar ramai selepas bergotong-royong dalam aktiviti pembersihan di Kampong Ayer.
Sukarelawan bergambar ramai selepas bergotong-royong dalam aktiviti pembersihan di Kampong Ayer.

“Kampong Ayer adalah salah satu tarikan utama di Brunei, oleh itu di samping memulihara warisan kita, kami juga mahu meningkatkan kesedaran mengenai kebersihan dan penjagaan alam sekitar kita.

“Tindakan kita, besar atau kecil semuanya menyumbang kepada impak yang kita lakukan ke arah kemapanan alam sekitar,” ujarnya.

SCB merupakan satu daripada sebilangan kecil organisasi yang secara aktif menggalakkan kakitangannya meluangkan masa daripada kerja untuk membuat kerja sukarelawan dalam masyarakat dengan memberikan cuti sukarelawan selama tiga hari kepada semua kakitangannya sebagai tambahan kepada cuti tahunan.

Dengan lebih 89,000 kakitangan di 70 pasaran berlainan, SCB percaya bahawa inisiatif-inisiatif kesukarelawanan ini akan mempunyai kesan positif yang signifikan di mana sahaja mereka bertapak.

ARTIKEL YANG SAMA