Kakitangan SCB luang masa bersama insan istimewa

Kakitangan SCB luang masa bersama insan istimewa

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Kira-kira 10 orang kakitangan Bank Standard Chartered (SCB) beramal dengan mengadakan aktiviti seni makanan bagi kanak-kanak istimewa dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, kelmarin.

Menurut kenyataan SCB, aktiviti berkenaan yang diadakan di The Energy Kitchen, Kiulap, menyaksikan kehadiran lebih 15 orang kanak-kanak yang menyertai aktiviti anjuran pasukan Perundangan dan Pematuhan bank berkenaan.

Pengurus Perundangan dan Pematuhan SCB, Rachel Ang dipetik sebagai berkata, “Kami gembira kerana dapat merealisasikan idea-idea kesukarelawanan kerana kami gembira menganjurkan aktiviti sedemikian dan meluangkan masa bersama kanak-kanak.

Antara seni kreatif hias makanan yang dianjurkan kakitangan SCB untuk berinteraksi bersama kanak-kanak Pusat Ehsan.
Antara seni kreatif hias makanan yang dianjurkan kakitangan SCB untuk berinteraksi bersama kanak-kanak Pusat Ehsan.

“Banyak yang kami pelajari dengan menganjurkan aktiviti-aktiviti kesukarelawanan ini, daripada bagaimana melibatkan kakitangan kami hingga belajar bagaimana berinteraksi dan terlibat dengan individu berkeperluan khas,” ujarnya lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, SCB merupakan salah satu daripada sebilangan kecil organisasi yang secara aktif menggalakkan kakitangannya meluangkan masa daripada tugas untuk membuat kerja sukarelawan kepada masyarakat dengan memberikan cuti kesukarelawan di samping cuti tahunan.

Dengan lebih daripada 89,000 kakitangan di 70 pasaran, SCB melahirkan kepercayaan bahawa dengan inisiatif-inisiatif kesukarelawanan ini akan mempunyai impak positif yang signifikan di tempat mereka bertapak.

ARTIKEL YANG SAMA