‘Kami adalah Chelsea’

LONDON, 13 Feb – Dua jaringan Eden Hazard membantu mengurangkan tekanan ke atas pengurus Chelsea, Antonio Conte apabila juara Liga Perdana itu kembali melonjak ke kedudukan empat pasukan teratas dengan kemenangan 3-0 ke atas West Bromwich Albion, awal pagi tadi.

Kekalahan tiga gol di tangan Bournemouth dan Watford menyaksikan Conte berkemungkinan dipecat hanya selepas sembilan bulan memenangi kejuaraan Liga Perdana.

Bagaimanapun pengendali dari Itali itu, yang sebelum perlawanan mendakwa ia adalah tindakan bodoh untuk memecatnya, diberi ruang untuk bernafas oleh Hazard dan Victor Moses yang menjaringkan satu gol.

“Ia bukan mudah apabila tewas dua perlawanan tetapi kini kami kembali,” kata Hazard.

“Kami adalah Chelsea, kami adalah juara, kami perlu memberikan segala-galanya.”

Pemain Chelsea, Eden Hazard (kiri) berebut bola dengan Gareth Barry dari West Brom dalam aksi Liga Perdana di Stamford Bridge. – AP

Chelsea melonjak ke tangga keempat, dengan jurang antara Manchester United di tangga kedua dan Tottenham Hotspur kelima, hanya empat mata dalam persaingan untuk menyertai pendahulu Manchester City ke Liga Juara-Juara musim depan.

“Kadang kala anda tewas. Perkara paling penting adalah terus bersatu,” kata Hazard.

Di kelompok bawah liga, kekalahan ketiga berturut-turut memberi tamparan hebat kepada peluang West Brom menyelamatkan diri daripada tersingkir, apabila ketinggalan tujuh mata di bawah zon selamat dengan hanya berbaki 11 perlawanan.

“Ia amat sukar, anda lihat keputusan beberapa perlawanan tidak menyebelahi anda dan semakin jauh ketinggalan,” kata penjaga gol West Brom, Ben Foster.

Giroud memainkan peranan dalam gol pertama Chelsea apabila membuat hantaran satu-dua dengan Hazard, yang kemudian melepaskan rembatan menewaskan Foster.

Di separuh masa kedua, Alan Pardew mendapati pasukannya ketinggalan 2-0 apabila Moses menyambut hantaran Cesc Fabregas dan menyudahkannya dengan sepakan rendah.

Hazard kemudian melengkapkan malam indah Chelsea dengan ledakan kencang kaki kiri ke sudut bawah gawang. – AFP