Kami akan kembali menjaring – Ranieri

Kami akan kembali menjaring – Ranieri

LEICESTER, 4 Jan (Reuters) – Pengurus, Claudio Ranieri tidak terganggu dengan kemarau tanpa gol Leicester City dan berkata ia hanya menunggu masa sebelum Foxes menemui semula jaringan ke gawang.

Leicester sebelum ini berada di persada Liga Perdana ketika Krismas, tetapi gugur ke tangga kedua di belakang Arsenal selepas seri tanpa gol dengan Bournemouth yang bermain 10 orang pada Sabtu lepas, perlawanan di mana ledakan Jamie Vardy terkena tiang dan Riyad Mahrez gagal menyudahkan sepakan penalti.

Foxes kini tanpa sebarang gol dalam tiga perlawanan terkini liga selepas tewas 1-0 kepada Liverpool dan seri 0-0 dengan Manchester City, namun warga Itali itu berkata dia gembira kerana pasukannya telah mencipta beberapa peluang dalam perlawanan mereka.

“Anda tahu masalah adalah apabila kita tidak mencipta peluang,” Ranieri memberitahu melalui laman sesawang kelab itu (www.lcfc.com).

“Tetapi apabila menentang Liverpool kami mencipta beberapa peluang, menentang Manchester City kami mencipta beberapa peluang dan (menentang Bournemouth) juga kami mencipta beberapa peluang.

Claudio Ranieri percaya kelabnya akan kembali menjaringkan gol dalam masa terdekat. – Reuters
Claudio Ranieri percaya kelabnya akan kembali menjaringkan gol dalam masa terdekat. – Reuters

“Sekarang terdapat tiga perlawanan berturut-turut di mana kami tidak memperoleh jaringan, namun tidak lama lagi ia akan berlaku juga.

“Kami tidak bernasib baik ketika ledakan Jamie Vardy terkena tiang dan penalti daripada Mahrez berjaya dihalang apabila penjaga gawang berjaya menyelamatkan bola dengan cantik, tapi apa yang boleh saya katakan?

“Kami memulakan separuh masa kedua dengan hasrat untuk memenangi perlawanan, kami mencuba sebaik mungkin, tapi apabila anda bermain dengan intensiti yang tinggi anda boleh melakukan beberapa kesilapan dan kami membuat banyak kesilapan dengan hantaran-hantaran pada saat-saat akhir.

“Tapi ia tidak apa, kami mempunyai 40 mata dan tanpa bolos, yang mana lebih penting.”

ARTIKEL YANG SAMA