Kami berjuang sehabisnya – Coke

Kami berjuang sehabisnya – Coke

BASEL, 19 Mei (Agensi) – Kapten Sevilla, Coke Andujar yang turut meledak dua gol ketika mengecewakan Liverpool 3-1 di final Liga Europa, awal pagi tadi memuji pasukannya sebagai ‘hati dan jiwa ‘ selepas menampilkan kebangkitan daripada ketinggalan sebelum menang.

Sevilla ketinggalan pada separuh masa pertama menerusi jaringan menarik Daniel Sturridge sebelum bangkit menyamakan kedudukan kurang seminit selepas permainan separuh masa kedua bermula menerusi jaringan Kevin Gameiro.

Ketika pertengahan babak kedua, Coke meletakkan Sevilla di depan menerusi jaringannya pada minit ke-64 diikuti gol kedua peribadinya, enam minit kemudian ketika dua permintaan Liverpool untuk mendapatkan penalti ditolak.

Bercakap kepada BeIn Sports selepas wisel penamat, pemain kelahiran Madrid itu mengakui segala-galanya tidak memihak pasukan pada satu ketika namun mereka berjaya bangkit mengubah keadaan.

“Ia sesuatu yang sukar untuk dijelaskan,” kata Coke.

Coke meraikan jaringan selepas mencetak gol buat pasukannya ketika menentang Liverpool FC dengan keputusan kemenangan berakhir 3-1 memihak kepada Sevilla FC. – AFP
Coke meraikan jaringan selepas mencetak gol buat pasukannya ketika menentang Liverpool FC dengan keputusan kemenangan berakhir 3-1 memihak kepada Sevilla FC. – AFP

“Kami banyak menderita sepanjang musim ini, kami kehilangan pemain-pemain utama kerana kecederaan namun hari ini kami bertarung untuk mereka dan pasukan memberikan segala-galanya di atas padang.

“Ia tampak sukar bagi kami, mereka boleh menjaringkan gol kedua namun ini mempunyai hati dan perasaan dan kami memberikan segala-galanya.”

Sevilla kini sudah menjuarai gelaran ketiga Liga Europa untuk catatan rekod tiga kali berturut-turut sekali pun pemain-pemain bintang kelab itu sering kali meninggalkan mereka selepas menjulang kejuaraan antaranya Ivan Rakitic dan Carlos Bacca.

“Setiap musim panas, 10 pemain keluar dan kami perlu membina pasukan baru,” kata Coke. “Kami bekerja keras setiap hari, setiap tahun. Ia sukar, kami tersingkir di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (peringkat kumpulan).

“Perkara ini perlu dihargai sebaiknya kerana kami bekerja amat keras.” Jurulatih Sevilla, Unai Emery berkata sasaran pasukannya selepas ini mengambil langkah lebih jauh di pentas Liga Juara-Juara.

“Sevilla dan peminat-peminatnya amat menggemari kejuaraan ini. Kami memang amat mahukannya. Kini kami mahu melangkah satu tahap ke depan dalam Liga Juara-Juara.”

Kemenangan di pentas kedua Eropah itu adalah yang kelima buat Sevilla dalam tempoh 11 tahun.

ARTIKEL YANG SAMA