Kami Itali, kami akan layak – Ventura

MILAN, 13 Nov – Jurulatih Itali, Gian Piero Ventura menegaskan bahawa pasukannya akan layak ke Piala Dunia Rusia tahun depan menjelang pertembungan penting playoff menentang Sweden awal pagi Selasa.

“Kami adalah Itali dan jika kami layak ia adalah dengan cara bermain bola sepak,” katanya, juara dunia empat kali Itali perlu menterbalikkan defisit 1-0 dalam kekalahan perlawanan pertama bagi mengelakkan daripada terlepas slot Piala Dunia buat pertama kali sejak 1958 ketika Sweden menghoskan kejohanan itu.

“Kami memerlukan segala-galanya esok, taktik, hati dan keazaman,” kata Ventura di satu sidang media di pusat latihan pasukan, Appiano Gentile.

Pengendali berusia 69 tahun itu tetap positif bahawa pasukannya dalam laluan ke Rusia, dengan menambah bahawa dia ‘hairan orang ramai terkejut kami berada dalam playoff’.

“Kami tahu dari saat kami berada dalam kumpulan yang sama dengan Sepanyol, bahawa kami akan menuju ke playoff. Tiada siapa terkejut kami mencapai kedudukan ini.

Jurulatih Itali, Gian Piero Ventura (kiri) bercakap dengan kapten Itali, Gianluigi Buffon pada satu sidang media menjelang pertembungan menentang Sweden di San Siro, Milan. – AP

“Saya sedar ia terjadi sebegini di Itali, tetapi saya tidak menjangkanya,” tambahnya.

“Perlawanan pertama membuktikan bahawa kami berkemampuan menterbalikkan keputusan 1-0.

“Kami sudah menganalisa beberapa perkara yang berjalan lancar dan beberapa perkara lagi yang tidak berjalan dengan lancar. Saya sedar bahawa perlawanan ini penting untuk kami, tetapi ia adalah senario yang sama ketika saya mula-mula menerajui pasukan kebangsaan,” katanya.

“Kami akan membuat perubahan, kerana baru 48 jam berlalu. Kami berharap ia akan berubah kepada sesuatu yang lebih baik.” – AFP