Kami mahu 20 peratus bukan 5 peratus

Kami mahu 20 peratus bukan 5 peratus

BAU, 14 Jun (Bernama) – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata kerajaan negeri akan terus berusaha untuk mendapatkan 20 peratus royalti minyak daripada kerajaan persekutuan.

“Kami mahu 20 peratus dan bukan 5 peratus (seperti sekarang). Kami masih belum berjaya mendapatkan 20 peratus itu tetapi kami akan dapatkannya,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, kerajaan negeri telah berjaya meyakinkan Petronas untuk memberikan kontrak bernilai RM2.1 bilion kepada syarikat-syarikat Sarawak.

Adenan berkata usaha juga sedang dilakukan untuk membangunkan Sarawak agar setara dengan kemajuan negeri-negeri lain di Semenanjung.

“Kita (Sarawak) masih ketinggalan berbanding negeri-negeri di Semenanjung.

Anda yang pernah pergi ke Kuala Lumpur dan negeri-negeri di Semenanjung, anda dapat lihat betapa majunya mereka berbanding dengan kita,” katanya dalam ucapan pada Karnival Gawai Tahunan Ke-10 Pertubuhan Pergerakan Penyelidikan dan Pembangunan Singai Sarawak (Redeems) di Pusat Redeems di sini malam tadi.