Kami pun boleh main kasar – Messi

Kami pun boleh main kasar – Messi

LA SERENA, Chile, 17 Jun (Reuters) – Argentina berharap untuk mengelak corak permainan kasar dan fizikal Uruguay namun kemenangan 1-0 dalam kempen Copa America, pagi tadi membuktikan finalis Piala Dunia 2014 itu mampu beraksi dengan cara sama, kata Lionel Messi.

Perlawanan kedua Kumpulan B itu berlangsung panas yang membawa kepada penyingkiran jurulatih Argentina, Gerardo Martino daripada bangku simpanan pemain selepas mempersoal keputusan pegawai perlawanan pada separuh masa pertama.

Selain itu, perlawanan juga hampir mencetuskan pergaduhan apabila berlakunya insiden tolak menolak dan perbalahan di antara pemain kedua-dua pasukan.

“Ia perlawanan yang sukar, terdapat begitu banyak pertembungan dan sentuhan fizikal,” kata Messi. “Kami membuktikan yang kami juga mampu bermain dengan cara itu sekalipun bukan itu yang kami mahukan.

“Mereka memang merancang untuk bermain dengan cara yang keras sejak dari mula. Mereka tidak mahu banyak bermain,” kata pemain Barcelona itu.

Messi (atas) dan pemain Uruguay, Egidio Arevalo Rios merebut bola pada perlawanan bola sepak Copa America. – AFP
Messi (atas) dan pemain Uruguay, Egidio Arevalo Rios merebut bola pada perlawanan bola sepak Copa America. – AFP

Argentina menguasai 2/3 perlawanan dan menampilkan corak menyerang namun gol yang diharapkan hanya terhasil pada babak kedua menerusi tandukan penyerang, Sergio Aguero.

Pertahanan Argentina, Javier Mascherano berkata mereka sudah meningkat sejak perlawanan pembukaan Copa America menentang Paraguay, minggu lepas yang berakhir dengan keputusan seri 2-2.

“Setiap hari kami bermain dengan lebih baik pada jangka masa yang panjang dan ia adalah perasaan yang hebat,” katanya.

Sergio Aguero meneruskan cengkaman Argentina pada cabaran Copa America apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan menentang Uruguay semalam.

Bintang Liga Perdana Inggeris itu menanduk masuk bola lintang hantaran rakan sepasukannya di Manchester City, Pablo Zabaleta pada minit ke-56.

Kekalahan Uruguay bermakna juara 2011 itu mesti menewaskan Paraguay pada perlawanan terakhir kumpulan berkenaan untuk layak dalam lapan pasukan terakhir.

Pertembungan Argentina-Uruguay adalah yang ke-199 antara dua pasukan gergasi bola sepak di Benua Amerika Selatan itu. Pada perlawanan pembukaan sebelum ini, Argentina hanya seri 2-2 dengan Paraguay.

Kemenangan menyaksikan mereka kini memungut empat mata, sama seperti Paraguay.

Uruguay yang juga penyandang juara mempunyai tiga mata hasil kemenangan pada aksi pembukaan menentang Jamaica dan dijadual menentang Paraguay, Ahad ini. Argentina juga dijadual bertemu Jamaica pada hari sama.

ARTIKEL YANG SAMA