Kampung Gawang kawasan ke-30 wabak rabies di Sarawak

KUCHING, 12 Feb – Kampung Gawang Empili, Simunjan hari ini diisytiharkan sebagai kawasan terbaharu wabak rabies di Sarawak, menjadikan kawasan wabak penyakit anjing gila itu kini berjumlah 30.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Timbalan Ketua Menteri yang juga pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengisytiharkan kawasan terbaharu wabak rabies itu hari ini.

“Memandangkan kampung ini berada di luar daripada 10km radius kawasan yang telah diisytihar sebagai kawasan wabak rabies sebelum ini, maka ia merupakan kawasan ke-30 wabak rabies di Sarawak,” menurut kenyataan itu.

Bahagian Serian mencatatkan jumlah kawasan diisytihar wabak rabies paling tinggi, menjangkau 21 buah, disusuli Kuching (4), Samarahan (3) dan masing-masing satu di Sri Aman serta Sarikei.

“Orang ramai yang mempunyai sejarah gigitan anjing diminta untuk segera membuat pemeriksaan di mana-mana fasiliti kesihatan yang terdekat, dan diingatkan untuk sentiasa menghindarkan diri daripada gigitan haiwan terutamanya anjing,” menurut kenyataan itu.

Sehingga kini, enam daripada tujuh pesakit yang dijangkiti rabies telah meninggal dunia, sejak penyakit itu dikesan di Sarawak tahun lepas. – Bernama