Kampung musnah terbakar dihujani bom

Kampung musnah terbakar dihujani bom

COLOMBO, 6 Jun – Polis Sri Lanka hari ini tergesa-gesa untuk mematikan bom yang belum meletup yang gugur di sebuah kampung berhampiran bandar semalaman dan memusnahkan ratusan buah rumah, selepas kebakaran maut dan besar berlaku di depot amunisi.

Sekurang-kurangnya seorang tentera rentung dan ribuan penduduk kampung lari dari rumah mereka selepas kebakaran meletus di kompleks tentera Salawa lewat kelmarin, mencetuskan siri letupan yang mengakibatkan serpihan peluru berterbangan di udara.

Ahli perniagaan Neville Nishantha, 44, berkata beliau melarikan diri bersama isteri dan tiga anaknya ketika letupan bermula dan mendapati rumahnya musnah ketika pulang pada pagi ini.

“Sebutir bom mortar telah terkena bumbung dan bilik tamu saya,” beritahu Nishantha kepada AFP.

“Dinding roboh dalam bilik tidur tempat tiga anak saya sepatutnya tidur.”

Askar-askar Pasukan Petugas Khas Sri Lanka berdiri berhampiran bom mortar di kawasan sebuah rumah di Salawa, di tepi bandar Colombo pada 6 Jun. – AFP
Askar-askar Pasukan Petugas Khas Sri Lanka berdiri berhampiran bom mortar di kawasan sebuah rumah di Salawa, di tepi bandar Colombo pada 6 Jun. – AFP

Hari ini, komando polis, Pasukan Petugas Khas telah dikerahkan untuk mematikan roket pelbagai laras, artileri, bom tangan pelancar roket dan bom mortar yang mendarat di kawasan-kawasan kediaman.

Jurugambar AFP menyaksikan komando-komando mengumpulkan sekurang-kurangnya empat roket yang belum meletup, salah satunya ditemui di tanah di luar rumah yang ditinggalkan.

“Pakar forensik telah memeriksa tapak itu dan kami baru saja memulakan pembersihan di jalan utama bagi kesemua kelengkapan yang belum meletup,” kata pegawai kanan polis memberitahu AFP.

Pemandangan udara kompleks tentera dari kawasan pergunungan berhampiran menunjukkan hanya menara air masih lagi utuh. Kesemua bangunan-bangunan sama ada musnah keseluruhannya atau atapnya sudah musnah.

Hampir 50 orang menerima rawatan akibat kecederaan atau penyedutan asap selepas kebakaran itu, yang memaksa pengosongan ke atas hospital kerajaan. Kata polis kemudahan itu juga musnah teruk.

Bekas presiden Mahinda Rajapakse berkata pentadbirannya merancang untuk memindahkan tapak buang amunisi dari kawasan pembangunan itu sebelum dia telah ditewaskan dalam pilihan raya 2015.

“Kerajaan saya telah merancang untuk memindahkan semula depot amunisi ini namun kerajaan baru gagal untuk melaksanakannya,” ujarnya kepada AFP.

Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe mengunjungi tapak musnah itu hari ini dan berjanji untuk membina semula rumah yang musnah, menurut pejabatnya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA