Kampung Selampit di Lundu meriah dengan pesta memancing

Kampung Selampit di Lundu meriah dengan pesta memancing

LUNDU, 18 April (Bernama) – Kampung Selampit di sini yang terkenal dengan udang galah dan pelbagai spesies ikan menjadi meriah semalam ekoran pesta memancing yang diadakan di Sungai Kayan.

Kira-kira 90 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan itu yang julung kali diadakan.

Ketua Kampungnya, Giton Anak Jenai berkata walaupun julung kali diadakan namun ia mampu menarik ramai pemancing.

“Oleh itu pertandingan ini akan dijadikan acara tahunan dan ditambah bilangan peserta dengan hadiah lebih lumayan,” katanya kepada Bernama.

Mengenai hasil sungai itu, beliau berkata udang galah sememang menjadi punca pendapatan kepada sebilangan penduduk termasuk yang memasang bubu.

Calon langsung Barisan Nasional bagi DUN Opar, Ranum Mina menunjukkan udang galah yang berjaya dipancing semasa pertandingan memancing di Sungai Kayan, Kampung Selampit, Lundu, semalam. – Bernama
Calon langsung Barisan Nasional bagi DUN Opar, Ranum Mina menunjukkan udang galah yang berjaya dipancing semasa pertandingan memancing di Sungai Kayan, Kampung Selampit, Lundu, semalam. – Bernama

“Udang atau udang galah biasanya dijual pada harga antara RM40 hingga RM45 sekilogram. Pembeli boleh mendapatkan udang galah segar yang baharu ditangkap atau menikmatinya di restoran makanan laut di sini,” katanya.

Sementara itu calon pilihan raya negeri bagi kawasan Opar, Ranum anak Mina berkata pertandingan memancing tersebut perlu diadakan dalam skala lebih besar.

“Ia berpotensi untuk menjadi produk pelancongan di Lundu sekiranya ia dibangunkan secara bersungguh-sungguh.

“Cuba bayangkan kalau ada pengusaha restoran yang boleh menyajikan makanan udang galah yang sedap atau mi sup udang galah yang sudah pasti ramai yang akan datang ke Kampung Selampit untuk menikmatinya,” katanya.