Kampung terputus hubungan

Kampung terputus hubungan

RANAU, 19 Jun (Bernama) – Jambatan sementara akan dibina bagi menghubungkan Kampung Mesilou dengan Kundasang selepas jambatan sebelum ini dihanyutkan banjir lumpur.

Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri Datuk Bobbey Suan berkata kerja membina jambatan itu yang terletak di Kilometer 3.1 Masilau Golf Course akan mengambil masa tiga bulan untuk siap dengan anggaran kos RM800,000.

Beliau berkata jambatan itu dianggar sepanjang 150 meter hingga 200 meter.

“Keutamaan diberikan untuk membina jambatan di kawasan itu yang menghubungkan Pusat Latihan Islam Kundasang dan ladang sayur milik persendirian, agensi kerajaan dan swasta,” katanya kepada pemberita semasa meninjau Loji Rawatan Air Bambangan di sini hari ini.

Beliau bersama seorang lagi Pembantu Menteri Infrastruktur Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, Setiausaha Tetap Kementerian itu Datuk Michael Emban dan Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah Willis Ansoi melawat dua kawasan jambatan yang ranap dihanyut di banjir lumpur termasuk sebuah di Kilometer 1.27 Jalan yang menghubungkan Mesilou Nature Centre.

Jambatan hilang dihanyutkan oleh arus deras berikutan banjir kilat baru-baru ini. – Bernama
Jambatan hilang dihanyutkan oleh arus deras berikutan banjir kilat baru-baru ini. – Bernama

Bobby berkata pihak JKR telah melakukan penilaian kerosakan bagi membolehkan kementeriannya mengenal pasti kos kerugian dan pembinaan jambatan baharu yang tetap.

Menurutnya untuk tindakan jangka pendek, sebuah laluan alternatif dari Jalan Kibbas menuju Kampung Mesilou akan dinaik taraf termasuk membesarkan saiz jalan raya yang mampu dilalui dua buah kereta sekali gus.

Katanya kerja naik taraf jalan raya alternatif tersebut diperlukan disebakan ia adalah jalan berbatu dan hanya memuatkan sebuah kereta.

“Naik taraf jalan raya ini akan kita percepatkan supaya penduduk kampung dan pengusaha ladang sayur-sayuran di kawasan itu dapat membawa keluar hasil tanaman untuk dipasarkan dan mereka tidak hilang pendapatan,” kata Bobby.