Kampus baru ‘Eco School’ ISB bermula 18 Ogos

Kampus baru ‘Eco School’ ISB bermula 18 Ogos

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Ogos – Kampus Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) yang berwajah baru di Kampung Sungai Hanching, akan mula beroperasi dan dibukakan kepada para pelajar pada 18 Ogos ini.

Pengetua Eksekutif ISB, Dr Steven Geraghty mengumumkan tarikh pembukaan ini semasa sesi temu bual bersama media tempatan di kampus baru itu, pagi tadi.

Kampus baru ISB mula dibina pada 14 April tahun lepas dan ia merupakan salah satu detik bersejarah bagi pembangunan ISB yang telah berada di negara ini lebih 50 tahun yang lalu.

Berbanding dengan kampus ISB sebelumnya yang terletak di Jalan Dato Haji Ahmad, Berakas dengan mempunyai keluasan 3.5 ekar, kampus baru berkenaan mempunyai keluasan 22 ekar.

Dr Steven Geraghty berkata, sekolah ISB sebelum ini, rata-rata kemudahannya terhad seperti kawasan padang dan kolam renang yang kecil, bangunan-bangunan pula semakin tua dan banyak lagi.

pg01_150815_a

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar (tengah) semasa melawat kampus baru ISB, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar (tengah) semasa melawat kampus baru ISB, kelmarin.

“Kini, kampus baru ISB memberikan lebih banyak kemudahan dan ruang yang besar seperti lebih banyak kelas yang besar, bilik filem, padang yang luas, bilik muzik dan teater, tiga buah kantin dan bermacam-macam lagi.”

Menurut beliau, apa yang menarik lagi, kampus baru ini dikenali sebagai kampus pertama di Brunei yang mempunyai status ‘Eco-School’ dan ia telah dianugerahkan ‘Green Mark’ daripada Pihak Berkuasa Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan di Brunei.

“Apa yang saya ketahui, sekolah ini adalah satu-satunya sekolah yang mempunyai status ‘Green Mark’ di Borneo dan juga di negara ini, di mana status ini merupakan penanda aras jaminan kualiti di Singapura kerana Singapura amat mementingkan penjimatan elektrik.”

Beliau menjelaskan lagi, berasaskan dengan status ‘Green Mark’ ini, setiap ruang dan bilik yang ada di bangunan itu tidak akan mendapat cahaya matahari secara langsung melalui tingkap-tingkap yang ada.

Sehubungan dengan itu, dengan pancaran cahaya matahari yang tidak berlebihan, kampus berkenaan dapat menjimatkan tenaga elektrik dengan mengurangkan penggunaan penghawa dingin.

Wajah baru kampus ISB yang mesra eko di Kampung Sungai Hanching.
Wajah baru kampus ISB yang mesra eko di Kampung Sungai Hanching.

pg03_150815_c

Kampus ISB baru ini, jelas beliau lagi, juga akan mengadakan sebuah Pusat Kitar Semula berhampiran kawasan kampus, di mana ia juga dibukakan untuk orang ramai dalam sama-sama memupuk sifat gemar mengitar semula barang-barang yang tidak digunakan lagi.

Di samping itu juga, kampus itu akan mempunyai Pusat Tenaga Berkekalan dan kerjasama dengan dana BruWild serta Jabatan Kehidupan Liar bagi menubuhkan sebuah pusat kecil pemulihan haiwan tidak berbahaya bagi proses pembelajaran para penuntut mengenai bekalan tenaga, menjaga hutan-hutan dan haiwan.

Beliau menjelaskan, padang sukan ISB akan siap dalam jangka masa kira-kira tiga minggu lagi, hujung bulan ini dan pusat asrama dijangka siap pada awal Januari tahun depan.

Dr Steven turut menyatakan harapan agar kampus baru itu akan memberikan pengalaman dan pembelajaran yang terbaik kepada para penuntut ISB nanti dengan kemudahan-kemudahan terbaru serta kawasan kampus yang lebih besar dan luas.

Beliau juga melahirkan rasa terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pembangunan dan Kementerian Pendidikan serta pihak berkepentingan yang lain terhadap sokongan dan dorongan yang telah diberikan kepada mereka dalam sama-sama berganding bahu menjayakan pembangunan kampus ini.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong turut mengadakan lawatan ke kampus berkenaan, kelmarin.