Kampus baru ISB dirasmi

Kampus baru ISB dirasmi

Oleh Sim Y. H. & Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani & Sim Y.H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat merasmikan kampus baru Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) di Jalan Utama Salambigar, Kampung Sungai Hanching.

Kampus baru ISB itu mula beroperasi pada Ogos tahun lalu dan merupakan satu detik bersejarah bagi pembangunan ISB yang telah berada di negara ini lebih 50 tahun yang lalu.

Sekolah tersebut mempunyai keramaian 1,260 pelajar dari lebih 46 buah negara, antaranya termasuk anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

Juga menuntut di sekolah tersebut ialah cucunda Baginda, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim.

Keberangkatan tiba Baginda Sultan di ISB dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong serta Pengerusi Lembaga ISB, Haji Ahmad bin Pehin Dato Laila Utama Haji Awang Isa dan Pengetua Eksekutif ISB, Dr Steven Geraghty.

Baginda Sultan berkenan bergambar ramai bersama pelajar-pelajar ISB.
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai bersama pelajar-pelajar ISB.

Baginda kemudian berkenan bergambar ramai sebelum dijunjung ke Dewan Teater ISB dan berkenan mendengar sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Awang Ahmad Isa.

Dalam sembah alu-alunya, beliau menjunjung kasih atas keberangkatan Baginda Sultan merasmikan Kampus ISB yang baru.

Beliau menambah bahawa acara perasmian itu merupakan satu mercu tanda yang bersejarah bagi sekolah berkenaan di mana sokongan berterusan daripada semua pihak termasuk ibu bapa dan pelajar-pelajar sekolah itu menyumbang kepada pembangunan sekolah berkenaan.

Menurutnya, ISB pada masa ini sudah menjangkau usia 52 tahun dan perasmian Kampus ISB yang baru itu merupakan satu acara yang pahit dan manis kerana bagi mereka yang sudah lama bersama ISB, ia menandakan bahawa perlunya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kampus lama di Berakas.

Namun begitu, beliau yakin bahawa kampus yang baru itu bukan sahaja akan memberikan pelbagai kenangan menarik tetapi juga akan memastikan sekolah itu terus memainkan peranan kepada pendidikan di Brunei.

Katanya, sebagai sebuah institusi pendidikan, ISB harus berupaya untuk melengkapkan generasi akan datang dengan pendidikan dan kemahiran supaya mereka mampu menghadapi cabaran dan perubahan yang akan hadir.

Pada masa yang sama, beliau yakin dengan adanya Kampus ISB yang baru itu, cabaran-cabaran itu dapat dihadapi dengan penuh keyakinan yang disokong oleh kemudahan-kemudahan pembelajaran abad ke-21 yang bertaraf dunia serta mampu untuk menyediakan generasi Brunei akan datang dengan pendidikan yang cemerlang dan melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk menjadi penduduk global serta menjadi aset yang penting kepada negara.

pg08_160420_a

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung memotong kek di Hostel ISB.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung memotong kek di Hostel ISB.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung menyaksikan suasana Dewan Sukan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung menyaksikan suasana Dewan Sukan.

pg08_160420_g

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan beramah mesra bersama penuntut yang tinggal di Hostel ISB.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan beramah mesra bersama penuntut yang tinggal di Hostel ISB.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung meninjau kemudahan Hostel ISB.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung meninjau kemudahan Hostel ISB.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan beramah mesra bersama penuntut-penuntut Sekolah Rendah ISB.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan beramah mesra bersama penuntut-penuntut Sekolah Rendah ISB.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan beramah mesra bersama pelajar dari Pra Kindy-Kindy.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan beramah mesra bersama pelajar dari Pra Kindy-Kindy.

pg08_160420_d

Sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga ISB, Haji Ahmad.
Sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga ISB, Haji Ahmad.

Baginda Sultan seterusnya dijunjung melawat dewan sukan sekolah berkenaan sebelum beredar ke Taman Eco dan asrama pelajar. Baginda kemudian dijunjung ke bahagian kawasan sosial luar sekolah di mana Baginda berkenan bergambar ramai bersama murid-murid sekolah rendah sekolah berkenaan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan menandatangani plak keberangkatan serta menyempurnakan perasmian kampus baru ISB dan seterusnya beredar melawat ke bangunan pra sekolah ISB.

Sebelum berangkat meninggalkan ISB, Baginda Sultan berkenan beramah mesra dengan para pelajar, murid, guru-guru dan kakitangan sekolah berkenaan.

Sekolah ISB telah ditubuhkan pada 1964 oleh Datin Glass iaitu isteri kepada pegawai kanan kerajaan pada ketika itu, sekolah berkenaan beroperasi secara sekolah rumah.

Setelah peningkatan dan kemasukan ramai penuntut, sekolah itu telah berpindah ke sebuah tapak yang telah disediakan oleh pihak kerajaan pada tahun 1970 yang dikenali sebagai Tapak Kuda.

Dengan peningkatan bilangan penuntut yang semakin tinggi, sekolah itu memerlukan penempatan baru bagi menampung jumlah penuntut yang semakin meningkat.

Pada 1985, sekolah itu sekali lagi berpindah ke bangunan baru di Jalan Dato Haji Ahmad, Berakas. Bangunan tersebut dirasmikan oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, pada 9 Mac 1986.

Dalam masa 30 tahun yang mendatang, ISB telah menunjukkan potensi menjadi sebuah sekolah yang terkenal dengan mencatatkan pencapaian dalam pelbagai bidang akademik, kebudayaan dan sukan yang cemerlang di samping mengekalkan falsafah pencapaian akademik yang mapan.

Rancangan untuk berpindah ke bangunan baru telah mula dirangka pada 2002 akhirnya sekolah berkenaan telah berpindah sepenuhnya ke bangunan kampus baru ISB di Sungai Hanching pada 2016.

Sekolah ISB yang baru itu merupakan satu-satunya sekolah hijau di Borneo apabila ia telah menerima anugerah Green Mark daripada BCA (Singapore) di mana perancangan untuk membina sekolah hijau itu menunjukkan bahawa sekolah itu amat komited dalam pemuliharaan dan kemapanan alam sekitar.

Bukan itu sahaja, sekolah itu turut mempelopori beberapa inisiatif penanaman semula hutan seperti Projek The Million Trees dan kampus baru itu juga akan menjadi pusat kepada Pusat CARE (Tindakan Pemuliharaan untuk kitar semula dan alam sekitar) yang akan berfungsi sebagai sebuah pusat pendidikan dan aktivisme dalam usaha melindungi alam sekitar khususnya di Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA