Kampus IBTE terima Kia Optima

Kampus IBTE terima Kia Optima

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Kia Motors Corporation melalui pengedarnya di Brunei Darussalam, Grand Motors Sdn Bhd petang tadi menyerahkan sebuah kereta Kia Optima kepada Kampus Mekanikal Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).

Kereta Optima baru itu akan menjadi kenderaan latihan bagi para pelajar IBTE supaya mereka dapat memahami fungsi dan teknologi kereta berkenaan serta bersedia untuk tugasan sebenar pada masa depan.

Menurut Pengarah Urusan Grand Motors, Frankie Ho, Kia Optima mewakili jenama Kia melalui reka bentuk dan teknologi, dan dengan kerjasama ini, mereka berharap jurutera generasi masa depan akan dapat mempelajari teknologi terkini dan menggunakan pengetahuan untuk kerjaya mereka pada masa hadapan.

Penyerahan kereta tersebut disempurnakan oleh Presiden Kia Motors Corporation dari Ibu Pejabat Rantau Asia, Steve Lee kepada Pengetua IBTE, Dr. Sheikh Lukman bin Sheikh Abdul Hamid sambil disaksikan oleh Frankie Ho dan Eksekutif Grand Motors Sdn Bhd, Haji Shaiful Rizal bin Pehin Dato Dr. Haji Ahmad.

“Hari ini, kami amat gembira menerima sebuah kereta latihan dari Grand Motors Sdn Bhd. Kereta latihan ini akan digunakan bagi meningkatkan pembelajaran kerana ia dilengkapi teknologi terkini dalam pasaran otomotif,” kata Dr. Sheikh Lukman.

Kereta Optima baru itu akan menjadi kenderaan latihan bagi para pelajar IBTE supaya mereka dapat memahami fungsi dan teknologi kereta berkenaan.
Kereta Optima baru itu akan menjadi kenderaan latihan bagi para pelajar IBTE supaya mereka dapat memahami fungsi dan teknologi kereta berkenaan.
Dr. Sheikh Lukman ketika menerima replika kunci kereta Kia Optima daripada Steve Lee.
Dr. Sheikh Lukman ketika menerima replika kunci kereta Kia Optima daripada Steve Lee.

“Dengan ini, para pelajar dan pelatih dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dan mampu menyalurkan pelajar berijazah dan layak bekerja di industri otomotif,” kata beliau lagi.

Memandangkan IBTE dan Grand Motors Sdn Bhd sudah lama menjalin kerjasama, syarikat tersebut telah menjadi salah satu perintis industri otomotif yang memberikan ruang kepada para pelajar yang mengkhusus dalam bidang teknikal.

Ketika menyentuh mengenai jualan syarikat, Steve Lee berkata Kia Motors dengan kerjasama Grand Motors Sdn Bhd sejak tahun lepas mencatat prestasi jualan yang amat baik.

Walaupun pada masa ini pasaran dunia mengalami kelembapan tetapi dengan keyakinan dari segi kualiti, reka bentuk dan prestasi, produk Kia sentiasa mendapat tempat di hati pelanggan.

Menurut beliau lagi, beberapa model terbaru Kia akan dibawa masuk ke negara ini seperti Kia Rio, Picanto dan beberapa model facelift juga akan diperkenalkan pada tahun hadapan.

ARTIKEL YANG SAMA